Georgetown: Tempoh reman suspek kes pembunuhan pelajar perempuan di Teluk Kumbar, Balik Pulau, disambung tujuh hari, bermula semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar, Rehah Ismail, di Mahkamah Majistret Georgetown di sini, selepas tempoh perintah sama terhadap suspek sebelum ini tamat semalam.

Suspek berusia 20 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Bayan Lepas, di sini, dipercayai menjadi suspek utama kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin berkata, perintah menyambung reman itu diperoleh pihaknya jam 10.31 pagi semalam.

Suspek sebelum ini ditahan reman tujuh hari bermula 26 Oktober lalu bagi siasatan kes berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pada 25 Oktober lalu, seorang pelajar tingkatan lima, Intan Suraya Mawardi, 17, ditemui bapanya berselimut dan dikelar pada leher, di rumahnya di Bandar Baru Teluk Kumbar, Balik Pulau.

Mangsa dikatakan dirogol sebelum dibunuh pengawal keselamatan yang juga kenalannya itu akibat cemburu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 9:27 AM