ANGGOTA polis mengiringi suspek ke Mahkamah Sesyen Balik Pulau.
ANGGOTA polis mengiringi suspek ke Mahkamah Sesyen Balik Pulau.

Balik Pulau: Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam terhadap tuduhan merogol seorang kerani, Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Tarmizi Yaakob, 21, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Sitarun Nisa menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh penyerahan dokumen dan sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, Tarmizi didakwa merogol wanita berusia 21 tahun itu di Kampung Sulup, Teluk Kumbar antara jam 4.30 hingga 5.30 pagi, 8 Oktober tahun lalu.

Tarmizi didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b), Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J G Kaameni manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 6 November 2015, tertuduh didakwa membunuh teman wanitanya, Intan Suraya Mawardi, 17, dan kelmarin lelaki itu turut didakwa di Mahkamah Majistret, di sini kerana merogol mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 8:55 AM