Suspek kes bunuh pelajar perempuan tingkatan lima di Teluk Kumbar, Pulau Pinang, dibawa untuk direman di Mahkamah Balik Pulau, Isnin lalu. - Foto NSTP (Fail)
Suspek kes bunuh pelajar perempuan tingkatan lima di Teluk Kumbar, Pulau Pinang, dibawa untuk direman di Mahkamah Balik Pulau, Isnin lalu. - Foto NSTP (Fail)

Shah Alam: Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil tindakan tegas terhadap syarikat kawalan keselamatan yang menempatkan pengawal keselamatan yang mempunyai rekod jenayah di sekolah.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan menyokong siasatan terperinci terhadap syarikat berkenaan.

"Kita setuju keputusan TPM (Timbalan Perdana Menteri) (Datuk Seri Dr) Ahmad Zahid (Hamidi) semalam yang mahu syarikat itu tunjuk sebab mengapa mengambil pekerja yang mempunyai rekod jenayah.

"Bagi pengawal keselamatan di sekolah, kita membuka tender kepada syarikat kawalan keselamatan dan hanya syarikat kawalan diberi lesen oleh KDN sahaja layak diberi kontrak itu,” katanya selepas menyampaikan Bayaran Intensif Tawaran Baharu (BITB) 2014 kepada 97 pengetua sekolah seluruh negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pengawal keselamatan yang ditahan berhubung kejadian rogol dan bunuh pelajar Tingkatan Lima di Teluk Kumbar, Pulau Pinang, Ahad lalu.

Suspek berusia 20 tahun yang dipercayai teman lelaki mangsa disahkan polis mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Mayat Intan Suraya Mawardi, 17, ditemui terbaring dan berselimut di atas katil oleh bapanya yang pulang pada jam 7.30 malam.

Mahdzir berkata syarikat kawalan keselamatan sepatutnya membuat pemeriksaan dan penelitian terhadap individu yang akan diambil bekerja termasuk membuat semakan dengan menerusi polis. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 7:25 PM