ANGGOTA forensik memeriksa kawasan kejadian lelaki parah ditembak ketika pulang ke rumah.
ANGGOTA forensik memeriksa kawasan kejadian lelaki parah ditembak ketika pulang ke rumah.
Oleh Shamsul Munir Safini

Permatang Pauh: “Saya ingat dia main-main kononnya ditembak, namun ia betul-betul berlaku selepas melihat dia berlumuran darah,” kata Yee Cui Cui, 25, sepupu Yang Kang Hee, 27, yang parah ditembak suspek tidak dikenali ketika menunggang motosikal pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Merah, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.20 petang, Kang Hee parah di leher dan bahu terkena dua das tembakan dari jarak dekat oleh seorang suspek lelaki yang mengekorinya dengan menaiki motosikal.

Mangsa yang parah terjatuh selepas terlanggar tiang di sebuah rumah berdekatan lokasi kejadian sebelum suspek melarikan diri.

Cui Cui berkata, ketika kejadian, dia terdengar tiga das bunyi letupan seakan-akan bunyi mercun dan tidak menyangka ia bunyi tembakan pistol.

Katanya, sejurus terdengar letupan itu, dia keluar memeriksa keadaan di hadapan rumahnya sebelum terlihat mangsa berlumuran darah dan meminta pertolongan.

“Dia memberitahu saya dia ditembak, namun saya tidak mempercayainya kerana dia selalu berjenaka dengan saya.

“Sebaik melihat kesan luka dialaminya dan keadaannya yang berlumuran darah, saya memanggil ahli keluarga lain untuk membantu menghantarnya ke hospital,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa adalah tukang kayu dan ketika itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

Cui Cui berkata, mangsa yang belum berkahwin sudah lama bekerja di kilang kayu berkenaan dan tidak mempunyai musuh.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zakaria Ahmad berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang lelaki yang mengekorinya dari belakang bersaing sebelum menembak mangsa dari arah kanannya.

“Dua das tembakan dilepaskan suspek yang menembusi bahu kanan serta terkena leher mangsa.

“Mangsa terjatuh selepas terlanggar tiang rumah di lokasi kejadian sebelum suspek melarikan diri,” katanya di sini, semalam.

Zakaria berkata, motif kejadian masih disiasat dan mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi menerima rawatan.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 6:28 AM