AHLI keluarga mangsa pilu di tempat kejadian.
AHLI keluarga mangsa pilu di tempat kejadian.
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan di kereta yang dipandu Thanabalan.
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan di kereta yang dipandu Thanabalan.
Oleh Omar Osman

Sungai Petani: Seorang pengusaha pusat mencuci kenderaan tidak sempat membuka pintu kereta selepas tiba di depan rumah apabila terkena empat das tembakan menyebabkannya mati serta-merta dalam kejadian di Taman Sri Gedung berhampiran Jalan Lencongan Timur, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 12.15 tengah malam ketika mangsa, S Thanabalan, 34, dikatakan baru tiba di depan rumah dengan memandu kereta Perodua Viva dan sebuah Perodua Myvi yang mengekorinya tiba-tiba berhenti di belakang kenderaannya.

Difahamkan, sebaik berhenti, tiga lelaki meluru ke kereta mangsa sebelum seorang daripadanya melepaskan tiga das tembakan ke arah kereta mangsa sebelum membuka pintu penumpang hadapan, sekali gus melepaskan empat das lagi tembakan pada jarak dekat.

Tembakan itu mengenai pipi, leher, dada dan perut mangsa menyebabkannya mati serta merta di tempat duduk pemandu sebelum tiga lelaki terbabit melarikankan diri.

Seorang saksi enggan dikenali berkata, ketika itu dia mahu masuk ke dalam rumah apabila melihat kereta jirannya berada di hadapan sebelum tiba-tiba terdengar bunyi letupan menyebabkannya bergegas keluar.

Katanya, pada mulanya dia dan rakannya menyangka bunyi letupan mercun, tetapi terkejut mendapati sebuah kereta Perodua Myvi berada di hadapan pagar rumah sebelum melihat tiga lelaki berlari ke arah kenderaan itu dalam keadaan tergesa-gesa lalu mengundur laju.

“Saya dan rakan bergegas ke arah kereta mangsa bagi melihat apa yang berlaku dan terkejut mendapati mangsa terkulai di tempat duduk penumpang dalam keadaan berlumuran darah dan tidak lagi bergerak.

“Saya memanggil isteri mangsa bagi melihat keadaan suaminya sebelum menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian. Saya dan rakan tidak menyangka sama sekali bunyi letupan disangka mercun sebenarnya letupan pistol.

“Sebelum kejadian, saya terserempak dengan Perodua Myvi itu di kawasan lorong gelap berhampiran rumah, tetapi tidak mengesyaki apa-apa berikutan kawasan perumahan itu banyak dilalui kereta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Khalil Ariffin berkata, mangsa yang memiliki perniagaan mencuci kereta di Taman Sejati Indah, di sini, maut akibat cedera parah selepas ditembak penyerangnya.

Menurutnya, siasatan turut mendapati mangsa memiliki rekod lampau mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan kemungkinan kejadian mempunyai kaitan dengan dadah, namun siasatan masih dijalankan.

“Polis menyiasat daripada pelbagai sudut bagi mengetahui punca kejadian sebenar mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 8:30 AM