Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Sekurang-kurangnya lapan das tembakan dilepaskan pada jarak satu meter yang menyebabkan seorang lelaki maut berhampiran restoran di Jalan Kampung Baru di sini, hari ini.

Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, tembakan jarak dekat itu mengakibatkan mangsa cedera di badan dan muka serta meninggal dunia di lokasi.

Katanya, mangsa berusia 36 tahun dikatakan datang ke restoran itu bersama isteri dan kanak-kanak dipercayai anak angkatnya serta rakan.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa baru selesai mengambil makanan bungkus untuk dibawa pulang dan membuka pintu kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya apabila dihampiri suspek.

Difahamkan, isteri dan anak angkat mangsa masih berada di dalam kedai ketika itu.

"Siasatan mendapati empat lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh serta berjaket menghampiri dan melepaskan tembakan terhadap mangsa.

"Ketika itu mangsa dikatakan mahu masuk ke dalam kenderaannya dan hasil pemeriksaan, kita menemui lapan kelongsong peluru," katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Wan Hassan berkata, semakan lanjut mendapati mangsa adalah individu dikehendaki mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana dipercayai terbabit dalam kumpulan kongsi gelap dan juga pengedaran dadah.

"Bagaimanapun, kita masih menyiasat motif tembakan ini dan siasatan mengenainya secara terperinci dan menyeluruh," katanya yang memberitahu masih giat mengesan semua suspek terlibat, selain meneliti kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, individu enggan dikenali yang melihat kejadian memberitahu, dia sempat mendengar bunyi letupan yang disangka mercun, namun terkejut apabila melihat lelaki rebah serta berlumuran darah.

"Saya sempat melihat empat lelaki menunggang dua motosikal terus beredar dari lokasi kejadian. Saya terkejut kerana tak sangka bunyi letupan itu adalah tembakan," katanya.

Berita berkaitan

Maut ditembak di depan restoran

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 5:12 PM