NADARAJAH sebak melihat myat anaknya di Unit Forensik HRPB,  semalam.
NADARAJAH sebak melihat myat anaknya di Unit Forensik HRPB, semalam.
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Sungai Siput: “Anak saudara saya ada terdengar rayuan Suren supaya tidak ditembak, namun sebaik dia tiba, anak saya terbaring dalam keadaan tidak bernyawa,” kata T Nadarajah, bapa kepada N Suren yang maut ditembak di rumahnya di Taman Tun Sambanthan, di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam, Suren, 28, seorang pengawal keselamatan maut di tempat kejadian akibat terkena empat das tembakan di kepala dan tangan.

Nadarajah, 54, anggota polis di Balai Polis Kanthan Baru berkata ketika kejadian dia bertugas di balai sebelum dimaklumkan seorang anaknya bahawa abang mereka ditembak selepas pulang dari kuil.

Menurutnya, ketika anaknya itu membuka pintu pagar, dua lelaki menaiki sebuah motosikal Honda EX5 berhenti di hadapan rumah dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dalam jarak 10 meter.

“Ketika kejadian, seorang anak saudara terdengar bunyi tembakan itu, namun menyangkakan ia adalah mercun sehinggalah terdengar jeritan Suren meminta tolong menyebabkan dia keluar melihat apa yang berlaku.

“Selepas terkena tembakan pertama di kepala, Suren berlari sambil menjerit agar dia tidak ditembak, namun rayuan itu tidak diendahkan suspek,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.

Menurutnya, Suren sebelum ini bekerja di Singapura sebagai ketua penyelia selepas menamatkan pengajian dalam bidang Pengurusan Hotel dan Pelancongan dan pulang ke Malaysia empat tahun lalu.

“Baru-baru ini saya ada menghantar Suren dan adiknya menghadiri temu duga di Johor. Mereka ingin bekerja di sana, malangnya hasrat itu tidak kesampaian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, pemeriksaan di tempat kejadian menemui lima kelongsong peluru jenis 9mm, dua kepala peluru, dompet dan dua telefon bimbit mangsa yang tidak terusik.

Katanya, pemeriksaan terhadap mangsa mendapati terdapat empat kesan tembakan iaitu di lengan kiri, di bahu kanan, di pipi kiri dan di belakang kepala.

“Polis sedang menyiasat motif kejadian dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:22 AM