Pontianak: Jerebu teruk melumpuhkan hampir sebahagian besar bandar utama di Kalimantan Barat dan Tengah, Indonesia, kelmarin berikutan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 300 iaitu pada tahap berbahaya sejak tiga hari lalu.

Di Palangkaraya, Kalimantan Tengah, bacaan IPU mencecah 712 sehingga jam 11 pagi semalam dengan bacaan terendah 512 manakala pada masa sama di Pontianak, Kalimantan Barat, bacaan IPU menurun kepada 477 berbanding 953 sebelum itu.

Difahamkan, jarak pandangan di beberapa lokasi di kedua-dua wilayah itu semalam hanya 700 hingga 1,200 meter saja dan operasi lapangan terbang terpaksa dihentikan.

Harian Metro dimaklumkan sekurang-kurangnya 48 penerbangan dibatalkan dan 24 penerbangan ditunda di Lapangan Terbang Antarabangsa Supadio, di sini, setakat jam 3 petang, semalam.

Pengurus Besar PT Angkasa Pura II Cabang Bandara Supadio, Bayuh Iswantoro berkata, lapangan terbang masih dibuka seperti biasa, namun penerbangan berlepas dan mendarat dibatalkan serta ditangguhkan.

Menurutnya, keadaan berjerebu dengan jarak pandangan terhad berisiko untuk membuat sebarang penerbangan.

“Sejak semalam (kelmarin), belum ada pesawat berlepas dan mendarat di lapangan terbang ini kerana jarak pandangan terbatas, malah yang terburuk dalam tempoh dua minggu ini.

“Walaupun keadaan berjerebu, belum ada pesawat mengalami sebarang masalah dan kemalangan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Bayuh berkata, pihaknya difahamkan syarikat penerbangan bersedia mengembalikan wang pembelian tiket bagi penerbangan dibatalkan.

“Bagaimanapun, ada segelintir penumpang sanggup menunggu di lapangan terbang untuk mengetahui status penerbangan mereka dengan harapan dapat berangkat ke destinasi masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:11 AM