KEADAAN  jerebu yang menyelubungi bandar Pontianak. - Ihsan Kompas
KEADAAN jerebu yang menyelubungi bandar Pontianak. - Ihsan Kompas
Agensi

Pontianak: Kualiti udara di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia, semakin buruk akibat kebakaran hutan, ladang dan tanah gambut sejak sebulan lalu, memaksa kerajaan menutup sekolah.

Sekolah menengah kembali dibuka semalam, selepas ditutup sejak Isnin lalu, namun jumlah pelajar yang ke sekolah hanya 30 peratus kerana jerebu masih tebal. Sekolah rendah dan tadika masih ditutup sehingga Isnin depan.

Portal berita Kompas melaporkan, pihak sekolah menunggu keputusan jabatan pendidikan sama ada sekolah menengah akan terus dibuka atau kembali ditutup.

Media Indonesia, melaporkan sehingga kini dua maut akibat kebakaran hutan itu dengan kedua-dua mangsa mati terbakar di ladang masing-masing.

Tribun News melaporkan, mangsa terbaru lelaki berusia 69 tahun yang mayatnya ditemui dalam keadaan rentung di ladangnya di Ketungau Tenga, Isnin lalu.

Menurut Kompas, jarak pandangan di bandar Pontianak hanya sekitar 200 hingga 300 meter dengan ramai penduduk memakai topeng hidung.

Jumlah titik panas yang dikesan ialah 331, menurun berbanding hampir 1,100 yang dikesan pada 16 Ogos.

Jerebu juga menjejaskan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Supadio menyebabkan ada penerbangan tertunda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 11:59 AM