PEMANDANGAN Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching yang yang kelihatan kabur kerana berjerebu. FOTO BERNAMA
PEMANDANGAN Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching yang yang kelihatan kabur kerana berjerebu. FOTO BERNAMA
BERNAMA

TIGA pesawat dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sibu terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Miri akibat kesukaran untuk mendarat berikutan cuaca berkabus dan awan rendah.

Pengurus Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) Sibu, Zainuddin Abu Nasir berkata, tiga pesawat itu membabitkan dua penerbangan AirAsia iaitu dari Kota Kinabalu-Sibu dan Kuala Lumpur-Sibu dan pesawat MasWings dari Bintulu-Sibu.

Katanya, pesawat bagi penerbangan dari Kota Kinabalu yang membawa 78 penumpang diarah membuat lencongan pada 7.30 pagi ini, dari Kuala Lumpur dengan 106 penumpang pada 7.55 pagi, manakala dari Bintulu (17 penumpang), jam 8 pagi.

“Perubahan jadual seterusnya bergantung kepada masa tiba ke Lapangan Terbang Sibu dan terpulang kepada syarikat penerbangan menetapkan masa penerbangan,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata, setakat 9 pagi ini, belum ada lagi penerbangan ketibaan mendarat di Lapangan Terbang Sibu.

Mengikut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, jarak ketampakan akibat jerebu di Sibu adalah 0.8 km berbanding jarak ketampakan normal 10 km.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sibu dilaporkan pada tahap sangat tidak sihat iaitu 237 pada 8 pagi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Sarawak Wong Ding Hook berkata, setakat ini tiada penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching walaupun IPU di situ mencatatkan bacaan 272.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching masih beroperasi seperti biasa,” katanya kepada BERNAMA.

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 12:03 PM