NAJIB menyentuh kad sejurus keluar daripada menaiki bas sempena Majlis Pelancaran Sistem Bas Rapid Transit  pertama di Bandar Sunway, semalam.
NAJIB menyentuh kad sejurus keluar daripada menaiki bas sempena Majlis Pelancaran Sistem Bas Rapid Transit pertama di Bandar Sunway, semalam.

Kuala Lumpur: Sistem Bas Rapid Transit (BRT) pertama yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semalam, mencipta sejarah tersendiri apabila bukan saja pengangkutan awam bersepadu dan efisien, malah yang pertama menggunakan teknologi mesra alam.

Ini berikutan keseluruhan 15 bas yang bakal beroperasi mulai hari ini menggunakan elektrik sepenuhnya sekali gus mengurangkan pelepasan gas karbon.

Najib berkata, projek itu juga dilihat mencapai piawaian antarabangsa dan boleh dibanggakan, malah menjadi hasrat kerajaan untuk menunjukkan keupayaan negara membangunkan sistem pengangkutan awam yang efisien, berkesan serta mampu digunakan sebahagian besar rakyat.

Beliau berkata, kelemahan selama ini kerana sistem pengangkutan awam di negara ini tidak diselaraskan dengan sebaiknya dan kerana itu kerajaan mewujudkan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi tujuan itu.

“Jika kita melihat di negara maju, mereka menggunakan pengangkutan awam walaupun mereka boleh menggunakan kenderaan sendiri. Soalnya kenapa? Kerana pengangkutan awam mempunyai ciri efisien, berkesan dan selesa,” katanya ketika berucap merasmikan Sistem Bas Rapid Transit (BRT) pertama di Malaysia iaitu Bas Rapid Transit-Laluan Sunway atau BRT-Laluan Sunway di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Pengerusi Kumpulan Prasarana Tan Sri Ismail Adam dan Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Projek berkenaan dibangunkan hasil konsep kerjasama kerajaan dan swasta iaitu Kumpulan Prasarana dan Kumpulan Sunway.

Najib berkata, kemudahan disediakan itu selaras janji pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) keenam iaitu menambah baik sistem pengangkutan awam bandar khasnya di Lembah Klang.

“Saya amat tertarik hati kepada projek ini kerana ia mencapai keunggulan dan keunikannya. Antaranya ia adalah sistem bas rapid pertama di Malaysia, kedua, menggunakan keseluruhan bas elektrik yang bererti pembebasan karbon yang sungguh minimum dan mesra alam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 8:03 AM