Prasarana cadang tambah 300 bas Rapid KL pada 2024.
Prasarana cadang tambah 300 bas Rapid KL pada 2024.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) berhasrat menambah hampir 300 bas, termasuk 100 bas elektrik membabitkan peruntukan bernilai RM180 juta, pada 2024.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, fasa pertama penambahan bilangan bas itu, hanya membabitkan perkhidmatan Rapid KL susulan permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di ibu negara.

"Kita akan mula membuka tender pada suku pertama 2023 dan peruntukan yang disediakan juga meliputi kerja menaik taraf infrastruktur dan kabel elektrik di depoh stesen bagi proses pengecasan.

"Menjelang suku pertama 2023 Rapid Bus menyasarkan sebanyak 1,183 bas akan beroperasi setiap hari. Bilangan bas itu masih sangat sedikit jika hendak dibandingkan dengan negara mempunyai pengangkutan awam yang efisien seperti Singapura," katanya kepada Bernama.

Sebagai pembaharuan, Mohd Azharuddin berkata, pihaknya akan memperkenalkan penggunaan bas elektrik terdiri daripada 45 bas mini, dengan panjang antara tujuh hingga lapan meter dan 55 bas bersaiz besar berukuran 10 hingga 12 meter.

"Jadi, melalui pembaharuan ini kita mendengar pendapat dan cadangan daripada orang ramai yang mahukan perkhidmatan bas mini dikembalikan.

"Kita lihat perkhidmatan bas mini lebih efisien, kerana lebih mudah untuk bergerak melalui kawasan sibuk dan jalan sempit seperti kawasan perumahan, selain mempunyai kekerapan tinggi," katanya.

Mohd Azharuddin berkata, Rapid KL pernah melakukan percubaan menggunakan bas elektrik bagi koridor Bus Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway, dalam operasi perkhidmatan basnya di dua laluan bas terpilih selama tiga bulan bermula April sehingga 13 Jun lalu.

Dua laluan percubaan yang terbabit adalah Laluan 400: Damai Perdana ke Hab Lebuh Pudu melalui Bukit Bintang dan Laluan 650: Taman Desa ke Hab Pasar Seni menggunakan kaedah pengecasan semalaman.

"Jadi, melalui hasil percubaan ini, kita yakin dapat menggerakkan 100 bas elektrik ini, selari dengan pertambahan sistem rel pada masa akan datang sekali gus menawarkan perkhidmatan yang optimum kepada pengguna pengangkutan awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 4:56 PM