Mahaizura Abd Malik


KUMPULAN Prasarana Malaysia Bhd (Kumpulan Prasarana) berjaya mencapai lebih 1.4 juta penumpang sehari menggunakan perkhidmatan pengangkutan awamnya di seluruh negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata, pencapaian itu didorong minat dan kecenderungan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang semakin meningkat dan memberangsangkan.

“Prasarana mengubah wajah sistem pengangkutan awam negara dan memacu gaya hidup baru warga kota dengan mempromosikan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

“Hari ini, Kumpulan Prasarana mengendalikan lebih 1.4 juta penumpang sehari termasuk pengguna bas di Pulau Pinang; Kuantan, Pahang; Kamunting dan Manjung di Perak,” katanya pada Majlis Penghargaan Media, hari ini.

Beliau berkata, jumlah itu meliputi perkhidmatan RapidKL yang mencapai lebih 1 juta penumpang sehari berbanding 900,000 sehari, tahun lalu.

“Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya mencapai 329,406 penumpang sehari diikuti LRT laluan Ampang/Sri Petaling (213,158 penumpang) sementara 215,833 penumpang menggunakan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang.

FOTO hiasan
FOTO hiasan

“Manakala bagi laluan monorel ialah 40,094 penumpang, Bas Rapid Transit (BRT) laluan Sunway (16,444), bas henti-henti RapidKL (317,803) dan bas perantara MRT (56,952),” katanya.

Katanya, walaupun jumlah capaian penumpang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, namun masih jauh daripada sasaran 30 peratus nisbah mod pengangkutan awam menjelang 2030.

“Sepanjang Prasarana dipertanggungjawabkan dengan amanah memacu transformasi sistem pengangkutan awam negara, anda (media) yang banyak membantu kami dalam menyampaikan informasi dan maklumat kepada pengguna.

“Anda rakan-rakan media sentiasa menghulurkan tangan apabila kami memerlukan masyarakat cakna dengan perkembangan semasa perkhidmatan kami serta aktiviti belakang tabir yang berlaku seharian dalam memastikan operasi berjalan lancar.

“Semoga kerjasama ini dapat terus dieratkan dan saya berharap media massa akan terus memperhebatkan sokongan bagi mempromosikan program menggalakkan penggunaan pengangkutan awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 5:01 PM