Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Sistem Bas Rapid Transit (BRT) pertama di Malaysia iaitu Bas Rapid Transit-Laluan Sunway atau BRT-Laluan Sunway.

Projek ini dibangunkan hasil kerjasama sektor awam dan swasta iaitu Kumpulan Prasarana dan Kumpulan Sunway.

Perdana Menteri berkata, kemudahan itu satu lagi kemudahan rakyat yang keberhasilannya dapat dinikmati selaras janji pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) keenam iaitu menambahbaik sistem pengangkutan awam bandar khasnya si Lembah Klang.

"Sistem pengangkutan ini bukan sekadar pengangkutan awam biasa, sebaliknya membuka lembaran baru dalam pengangkutan awam negara.

"Selain perhidmatan bas pertama menggunakan laluan bertingkat, ia juga perkhidmatan bas awam henti-henti pertama menggunakan bas elektrik sepenuhnya," katanya.

Najib berkata, beliau berharap penekanan dalam membudayakan teknologi mesra alam seperti dalam projek BRT-Laluan Sunway itu akan diteruskan selaras aspirasi kerajaan untuk meningkatkan budaya teknologi hijau.

Katanya, dengan adanya sistem pengangkutan bersepadu yang efisyen dan setanding di negara maju, beliau berharap jumlah penggunanya akan meningkat.

"Bersempena pelancaran ini juga saya ingin mengumumkan perkhidmatan percuma BRT-Laluan Sunway selama dua bulan mulai esok," katanya.

Tujuh stesen bas BRT terbabit ialah Stesen Sunway, Setia Jaya, Mentari, Sunway Lagoon, SunU-Monash,South Quay dan USJ17.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 6:59 PM