AZMI (dua dari kiri) menaiki bas elektrik BRT.
AZMI (dua dari kiri) menaiki bas elektrik BRT.
DUA daripada 15 Bas Elektrik BRT-Laluan Sunway
DUA daripada 15 Bas Elektrik BRT-Laluan Sunway
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Subang Jaya : Prasarana Malaysia Berhad (Kumpulan Prasarana) berada pada kedudukan terbaik untuk melengkapkan pembangunan projek Bas Transit Rapid (BRT) laluan Sunway pada Jun tahun ini berdasarkan perkembangan terkini projek terbabit yang mencapai tahap 88 peratus siap pada 3 Mac lalu.

Pengarah Urusannya, Azmi Abdul Aziz berkata perkembangan itu menyaksikan kumpulan berjaya melengkapkan aspek pemilikan tanah (100 peratus) namun masih fokus kepada tiga aspek yang belum lengkap sepenuhnya iaitu membabitkan kerja fasiliti (90 peratus), kerja berkaitan sistem (53 peratus) dan bas elektrik (58 peratus).

“Kami optimis projek ini mampu disiapkan menjelang akhir Mei ini sebelum dijangka beroperasi dan dilancarkan dalam tempoh dua bulan akan datang,” katanya pada sesi taklimat media dan lawatan tapak projek BRT laluan Sunway, semalam.

Projek itu mula dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2012 di mana ia adalah inisiatif di bawah program kerjasama awam-swasta (PPP) antara Kumpulan Prasarana dan Sunway Berhad membabitkan kos bernilai RM634 juta.

Projek BRT Laluan Sunway ini menyediakan akses pengangkutan bersepadu untuk kira-kira 500,000 penduduk di sekitar Bandar Sunway dan Subang Jaya melalui pembinaan laluan bas khusus sepanjang 5.4 kilometer menghubungkan stesen sambungan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya di USJ 7 dan Stesen Komuter Setia Jaya.

Beliau berkata, BRT menggabungkan sistem seperti transit aliran ringan yang menggunakan laluan khas, penggunaan bas mesra alam iaitu bas elektrik dan kemudahan mesra pengguna di mana ia bakal menjadi BRT pertama di Malaysia, BRT pertama yang menggunakan bas elektrik di Malaysia dan laluan BRT tinggi pertama di rantau Asia Tenggara.

“Laluan yang memiliki tujuh stesen dan sebuah kemudahan ‘Park N Ride’ ini dijangka dinaiki 2,400 penumpang pada setiap jam pada tahun ini melalui penggunaan 15 bas elektrik dan jumlah itu bakal meningkat kepada 5,200 penumpang pada 2035,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Azmi berkata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang mengenalpasti beberapa lokasi berpotensi di Lembah Klang bagi pembinaan BRT seterusnya namun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkara itu kerana ia bergantung kepada hasil kajian fizikal dan keperluan kewangan yang dilakukan SPAD.

Menurutnya, pihak kerajaan melihat projek BRT perlu dilaksanakan ekoran terdapat keperluan mendesak untuk mengatasi masalah kesesakan di lokasi tertentu dengan pembinaannya dijamin tidak berdekatan projek sedia ada seperti Mass Rapid Transit (MRT).

“Jika disemak Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat Kebangsaan, SPAD memang menyenaraikan 11 lokasi lain di Lembah Klang yang dikenal pasti untuk pembinaan BRT seterusnya namun ia bergantung kepada keputusan SPAD dan pihak kerajaan sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:18 AM