MEMULAKAN perjalanan membawa bas elektrik di BRT Depoh Bandar Sunway.
MEMULAKAN perjalanan membawa bas elektrik di BRT Depoh Bandar Sunway.
TUTY memeriksa skrin elektronik sebelum memulakan perjalanan.
TUTY memeriksa skrin elektronik sebelum memulakan perjalanan.
MEMERIKSA tahap keselamatan bas sebelum memulakan perjalanan.
MEMERIKSA tahap keselamatan bas sebelum memulakan perjalanan.
TUTY menjadi kapten bas elektrik wanita pertama Malaysia.
TUTY menjadi kapten bas elektrik wanita pertama Malaysia.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Bertubuh kecil tetapi jiwanya cukup kental. Pernah diperlekehkan rakan apabila menyuarakan hasrat mahu menjadi pemandu bas disebabkan saiz fizikalnya.

Namun, dia langsung tidak pernah mengambil pusing kata-kata negatif itu sebaliknya terus membuktikan hasratnya bukan sekadar omongan kosong.

Hari ini, Tuty Sofia Ahmad Tajudin,28, sudah menunjukkan dirinya bukan calang-calang apabila menjadi kapten bas elektrik wanita pertama Malaysia yang memandu Bas Rapid Transit (BRT) di laluan BRT Sunway sejak Ogos lalu.

Kapten merujuk kepada pemandu bas dan gelaran diberikan oleh Prasarana Malaysia Berhad bagi menghargai mereka yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas penumpang.

Memecah tradisi dengan menceburi bidang pemanduan pengangkutan awam yang didominasi lelaki adalah satu pencapaian membanggakan buat dirinya apatah lagi bergelar ibu muda kepada dua cahaya mata perempuan berusia lima dan lapan tahun.

Wanita hebat yang berasal dari Setiawangsa, Kuala Lumpur ini mendedahkan, menjadi pemandu BRT adalah pekerjaan keempatnya yang sebelum ini pernah bekerja sebagai juruwang sambilan, menjahit pakaian dan pemandu teksi.

Tuty Sofia berkata, dia sememangnya meminati pekerjaan yang mencabar keupayaan dirinya sebagai seorang wanita selain mahu mencuba pengalaman baharu.

Katanya, keinginan itu tercetus ketika memandu teksi dan seronok apabila terlihat seorang pemandu bas wanita di jalan raya.

“Saya beritahu kepada suami, Khairul Ridzuan Kherudin, 33, mahu menukar kerjaya sebagai pemandu bas dan dia (suami) tidak melarang.

“Saya memberanikan diri membuat permohonan dan tidak menyangka ia berjaya dan ditawarkan mengikuti latihan di akademi bas di Cheras Selatan selama empat bulan,” katanya kepada Nuansa ketika ditemui di Kompeks BRT Sunway.

Menurutnya, tidak dinafikan perasaannya gementar dan takut ketika pertama kali ditugaskan memandu BRT pada 11 Ogos lalu.

“Pada mulanya memang kekok untuk mengendalikan kenderaan besar seperti bas di jalan raya kerana bimbang tidak boleh mengawal pergerakan.

“Tetapi alhamdulilah, keyakinan mula bertambah apabila dapat kendalikan bas ini selepas stesen pertama di Stesen Soft Quay (berdekatan Mydin USJ1),” katanya yang memulakan rutin memandu bas seawal jam 5 pagi hingga 3 petang.

Tuty Sofia berkata, walaupun dikelilingi rakan sekerja lelaki kerana 24 pemandu BRT yang lain adalah daripada kaum Adam tetapi dia tidak pernah berasa terasing.

“Tidak pernah wujud jurang antara kami dan saya selesa bekerjasama dengan mereka.

“Bagi saya, ini peluang untuk mempelajari banyak ilmu kerana kebanyakan mereka lebih berpengalaman dalam bidang ini,” katanya.

Katanya, walaupun masih baru dalam bidang itu, dia bertekad memberikan perkhidmatan terbaik kepada syarikat dan pelanggan.

“Saya mahu membersihkan imej pemandu bas yang sering dipandang serong oleh masyarakat dan penumpang dengan persepsi negatif.

“Pemandu dan penumpang perlu saling memahami dengan keadaan masing-masing kerana saling berhadapan halangan tersendiri,”katanya.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Media Kumpulan Prasarana Azhar Ghazali berkata, Prasarana sangat komited memastikan pembabitan wanita yang menyeluruh dalam syarikat terbabit.

“Kami sentiasa terbuka menerima pekerja wanita terutama sebagai pemandu BRT walaupun pekerjaan itu dikuasai lelaki,” katanya.

Katanya, laluan BRT Sunway adalah stesen yang pertama di negara ini membabitkan laluan sejauh 5.4 kilometer bermula dari Stesen Setia Jaya menghubungkan ke KTM Setia Jaya, Stesen USJ 7 iaitu stesen integrasi ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya.

“Kenderaan ini menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya dengan konsep operasi seakan-akan seperti LRT dan Transit Aliran Massa (MRT) dari segi sistem tiket, pengesahan waktu bergerak serta masa menunggu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 12:06 PM