Dungun: “Alhamdulillah, saya syukur berada di sini dan mahu baca al-Quran sampai habis 30 juzuk. Kalau boleh ingin meninggal dunia ketika mengaji al-Quran,” kata Sapiah Ali, 75, warga emas sebatang kara yang kini ditempatkan di Rumah Ehsan di Bandar Al Muktaffi Billah Shah, di sini, Ahad lalu.

Sapiah gembira apabila hasratnya ingin ke rumah kebajikan dimakbulkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu.

Pada 23 April lalu, Harian Metro melaporkan Sapiah yang hidup sebatang kara serta tidak dapat berjalan, memohon ditempatkan di rumah orang tua. Berikutan itu, Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Dungun Mastura Othman mengemukakan permohonan kepada JKM untuk menempatkan Sapiah di rumah kebajikan itu.

Menurutnya, dia diberi layanan baik oleh kakitangan rumah kebajikan itu yang sanggup melayan pelbagai kerenah penghuni.

Walaupun sedih mengenangkan nasibnya berakhir di rumah kebajikan, namun dia reda mengenangkan dia tidak mempunyai anak.

Sapiah berkahwin dengan Tawang Abdul Rahman tetapi tiada anak.

“Biarpun tidak dikurniakan anak, kehidupan kami sangat gembira namun selepas kematian suami 20 tahun lalu, saya menjadi sunyi.

“Saya demam panas hingga menjerit kesakitan berseorangan. Deman itu menyebabkan kedua-dua kaki menjadi bengkok serta tidak dapat berjalan,” katanya ketika ditemui di rumah kebajikan itu, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 9:43 AM