SOPIAH tidak berkahwin dan menjaga adiknya, Mohd Nor yang tidak dapat berjalan dan menguruskan diri, di kediamannya di PPR Intan Baiduri. FOTO Eizairi Shamsudin
SOPIAH tidak berkahwin dan menjaga adiknya, Mohd Nor yang tidak dapat berjalan dan menguruskan diri, di kediamannya di PPR Intan Baiduri. FOTO Eizairi Shamsudin
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Usia Mohd Nor Wahid sudah 40 tahun namun keupayaannya terhad kerana masih tidak dapat berjalan dan hanya dapat bergerak dengan merangkak saja.

Semuanya terjadi selepas Mohd Nor diserang demam panas dan sawan ketika bayi hingga dia hilang keupayaan berjalan.

Di sebalik ujian itu, Mohd Nor bertuah kerana ada seorang kakak iaitu Sapiah Wahid, 50, yang banyak berkorban dan sabar melayan kerenahnya kecil.

Sapiah berkata, dia mula menjaga Mohd Nor sejak adiknya itu kecil lagi dan terus mengambil alih tanggungjawab selepas ibu, Fatimah Ibrahim serta bapanya, Wahid Awang meninggal dunia.

Memandangkan Mohd Nor tidak mampu berdikari maka Sapiah yang akan menguruskan segalanya termasuk memberi makan, minum dan memandikan adiknya itu.

"Ikutkan saya sudah bantu jaga adik sejak emak dan ayah masih ada lagi hingga sekarang.

"Abang yang sulung dan adik beradik lain ada bantu hulur wang malah mereka masih ambil berat cuma saya yang banyak habiskan masa dengan Mohd Nor kerana tinggal bersamanya.

"Sebenarnya, sudah bermacam ikhtiar pernah dilakukan untuk merawat adik antaranya dengan berurut dan jalani sesi fisioterapi tetapi keadaannya masih begitu sehingga kini," katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya dekat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, di sini.

Berkongsi pengalamannya, Sapiah mengakui bukan mudah untuk menguruskan Mohd Nor kerana menuntut tenaga dan banyak kesabaran.

Bagaimanapun, Sapiah cuba sehabis baik untuk menjaga dan menguruskan Mohd Nor memandangkan ia adalah darah dagingnya sendiri.

"Kadang-kadang hilang sabar juga terutama ketika hendak beri dia makan kerana agak lambat dan dia mudah tersedak.

"Lama kelamaan, saya dapat biasakan diri termasuk melayan ragam dan emosinya yang ada kalanya tidak menentu.

"Jika dulu, ada juga ambil tempahan menjahit, kini tidak lagi kerana mata sudah rabun dan mesin jahit juga rosak.

"Jadi, saya berharap dengan wang bulanan RM500 daripada Baitulmal dan duit pemberian abang sulung serta adik beradik lain untuk kelangsungan hidup," katanya.

Ditanya soal peribadi, Sapiah berkata, dia pernah bertunang ketika berusia 30-an namun tiada jodoh untuk berkahwin dengan lelaki berkenaan ketika itu.

Kini, Sapiah reda dan tidak terlalu berharap untuk mendapatkan pasangan kerana baginya, kebajikan Mohd Nor adalah yang lebih utama.

"Kalau ada jodoh, saya terima. Jika tiada sekalipun, saya reda.

"Cuma, andai kata ada jodoh, biarlah yang boleh terima adik kerana saya mahu bawa dia (Mohd Nor) tinggal bersama.

"Tak sanggup rasanya nak berpisah dengan adik kerana sudah jaga dia sejak kecil malah selagi ada kudrat, saya akan terus menjaganya sehingga akhir hayat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 4:33 PM