Rosli Ilham

Dungun: "Saya terkejut melihat cermin kereta bertaburan di tempat duduk penumpang depan sebelum mendapati beg tangan diletakkan di bawah kerusi hilang," kata Sapiah Omar, yang kerugian RM20,000 selepas kenderaannya itu dipecah penjenayah, petang semalam.

Dalam kejadian di Jalan Pak Dagang, di sini, beg tangan yang mengandungi barangan kemas dan wang tunai RM200 milik mangsa disedari hilang pada 6 petang.

Sapiah, 53, berkata, sebelum kejadian, dia meletakkan keretanya di situ pada 10 pagi sebelum meletakkan beg tangan mengandungi barangan kemas dan wang tunai di bawah tempat duduk penumpang depan.

Katanya, selepas itu, dia masuk ke tempat kerja di sebuah pasar raya yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

"Ketika waktu rehat tengah hari untuk pulang ke rumah, saya dapati kereta itu terhalang dengan kenderaan pelanggan pasar raya yang turut dipakir di kawasan itu.

"Saya menghubungi anak perempuan yang datang mengambil saya dengan motosikal untuk pulang ke rumah dan terlupa untuk mengambil beg tangan di dalam kereta.

"Saya masuk kerja semula pada 2 petang dan sempat melihat kereta dari sebelah kanan dan semuanya seperti biasa," katanya.

 Sapiah Omar menunjukkan cermin keretanya yang dipecahkan penjenayah sebelum melarikan barangan kemas dan wang tunai miliknya. FOTO ROSLI ILHAM
Sapiah Omar menunjukkan cermin keretanya yang dipecahkan penjenayah sebelum melarikan barangan kemas dan wang tunai miliknya. FOTO ROSLI ILHAM

Sapiah berkata, ketika mahu masuk ke dalam kereta untuk pulang ke rumah pada 6 petang, itu barulah dia menyedari cermin sebelah kiri keretanya pecah manakala beg tangannya hilang.

Menurutnya, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun pada 7. 30 malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kenderaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 1:27 PM