MAT Kawi menunjukkan pokok palas yang terdapat di kawasan hutan Jerangau.
MAT Kawi menunjukkan pokok palas yang terdapat di kawasan hutan Jerangau.
Rosli Ilham

Ketupat palas sentiasa mendapat permintaan tinggi pengemar setiap kali tibanya musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.

Namun untuk mendapatkan daun palas ini bukanlah suatu yang mudah kerana pokok berkenaan hanya tumbuh jauh di dalam hutan yang berpaya.

Bagi Mat Kawi Lah, 55, setiap kali tiba Ramadan, dia akan masuk ke hutan untuk mendapatkan daun palas kerana mampu mendatangkan rezeki tambahan kepadanya dan keluarga.

Menurutnya, setiap pagi, dia dibantu anaknya, Mohd Firdaus,19, akan masuk ke kawasan hutan untuk mendapatkan daun palas sebelum dijual kepada pembuat ketupat.

"Daun palas kini sukar ditemui di kawasan tepi hutan dan kebanyakannya tumbuh jauh di dalam hutan berpaya.

"Saya dan anak berjalan meredah belukar yang jauh untuk mencari pokok palas dan terus mencarinya kerana pokok palas ini tidak tumbuh secara berkelompok," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Pulut, Dungun, Terengganu.

Dia yang mesra disapa Awi berkata, setiap hari dia akan mengambil masa lima hingga tujuh jam untuk memdapatkan antara 500 hingga 800 pokok palas.

"Kadang-kadang hampa juga apabila hanya menjumpai pokok palas tua kerana daun palas sudah tua, sangat keras dan tidak sesuai untuk dijadikan 'daun' ketupat.

"Saya hanya ambil pucuk palas dan dalam satu pokok palas itu hanya ada satu atau dua pucuk sahaja. Bayangkan untuk dapat satu guni berapa pokok perlu saya cari," katanya.

Dia tidak menafikan ramai beranggapan mudah untuk mendapatkan pokok palas ini namun hakikatnya banyak cabaran.

"Bayangkan saya dan anak terpaksa memikul berguni-guni daun palas untuk dibawa keluar dari hutan dengan hanya berjalan kaki.

SAPIAH Wan Hasan menunjukkan ketupat palas yang dihasilkan dan mendapat permintaan yang tinggi.
SAPIAH Wan Hasan menunjukkan ketupat palas yang dihasilkan dan mendapat permintaan yang tinggi.

"Itu tidak termasuk berdepan risiko tercucuk duri palas yang sangat tajam dan terkena habuk daun palas yang boleh menyebabkan tubuh menjadi gatal," katanya.

Katanya, daun palas yang diperolehinya itu kebanyakannya sudah ditempah pelanggan dan dia menjualnya sebanyak RM25 untuk 100 batang pokok palas.

"Selain pelanggan tempatan, daun palas saya juga mendapat permintaan daripada pelanggan di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pahang.

"Pelanggan sekitar Terengganu saya akan hantar dengan harga yang sama manakala pelanggan luar saya poskan tanpa mengenakan caj tambahan," katanya.

Mat Kawi berkata, daun palas yang dijual itu boleh bertahan lama sehingga sebulan kerana ia dibungkus rapi dan tidak didedahkan dengan cahaya matahari.

"Alhamdulilah rezeki daun palas ini dapat saya tambah perbelanjaan dapur dan membeli pakaian raya untuk anak-anak," katanya.

Sementara itu pembuat ketupat, Sapiah Wan Hasan, 43, berkata, sebatang daun palas boleh menghasilkan antara 20 hingga 25 biji ketupat.

Menurutnya, setiap hari dia hanya menerima tempahan kira-kira empat hingga enam kilogram ketupat setiap hari.

"Setiap satu kilogram beras pulut mampu menghasilkan kira-kira 50 biji ketupat dan saya jual RM 0.60 sebiji kepada pelanggan.

"Ketupat palas sentiasa mendapat permintaan tinggi terutamanya menjelang hari raya nanti," katanya.

Sapiah berkata, sebelum membungkus ketupat, daun palas mesti dibuka setiap helai dan dilap dengan kain bersih sebelum dijemur.

"Santan segar dan beras pulut yang dikukus lembut perlu diadun sebati bagi membangkitkan keenakan ketupat palas menjadi lemak bermasin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 6:30 AM