AZIMAH (kanan) memberikan  suntikan insulin kepada Sumai.
AZIMAH (kanan) memberikan suntikan insulin kepada Sumai.
HM Digital

Port Dickson: “Saya sendiri hidap kanser rahim tahap empat tetapi terpaksa jaga kakak ipar yang terlantar sejak setahun lalu akibat sakit kencing manis kronik dan pelbagai lagi penyakit,” kata Azimah Hussin, 58, ketika ditemui di rumahnya di Rumah Rakyat Kampung Paya di sini semalam.

Katanya, kakak iparnya, Sumai Khamis, 71, dipotong kaki kirinya paras lutut dan perlu disuntik insulin setiap hari.

“Dia pun tiada sesiapa lagi kerana tidak pernah berkahwin dan tidak punyai anak.

“Dia kakak suami saya yang sudah meninggal dunia 10 tahun lalu dan kini sebatang kara. Walaupun saya turut sakit, terpaksa gagahi juga kerana dia lebih teruk dan terlantar.

“Hanya saya dan kakak ipar yang tinggal kerana semua tiga anak perempuan saya sudah berkeluarga dan tinggal jauh.,” katanya.

Azimah berkata, dia hanya memperoleh pencen ilat arwah suaminya RM500 sebulan, manakala Sumai mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan.

“Dengan duit inilah kami berbelanja dan sering kali putus duit. Lampin pakai buang kakak ipar pula satu beg sehari dan perbelanjaan itu pun tidak dapat menampung keperluannya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang bolehlah melalui akaun bank CIMB, Azimah Hussin 0506-0046643-52-6.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 7:17 AM