Amir Mamat


MASIH ingatkah lagi dengan rakaman suara seorang nenek yang mengingatkan 'Dak Syafiq' supaya tidak membeli sate di Sungai Putat, Melaka, sehingga tular ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.

Rupa-rupanya, nenek yang bertutur pekat 'loghat' Melaka itu tinggal di Sungai Putat yang menjadi antara lokasi mempunyai satu kes positif Covid-19.

Nenek Sapiah atau nama sebenarnya Kamsiah Jantan, 70, tidak menyangka rakaman suaranya tular dan menjadi ajukan pengguna media sosial, termasuk beberapa artis dan selebriti tempatan sambil melakonkan aksi.

Sapiah berkata, ketika merakamkan suara menerusi nota suara di aplikasi Whatsapp itu, niatnya hanya untuk mengingatkan cucunya, Mohammad Syafiq Mohd Don, 28 atau lebih dikenali sebagai 'Dak Syafiq' supaya tidak membeli sate di Kampung Sungai Putat, susulan satu kes positif Covid-19 direkodkan di kawasan terbabit dua bulan lalu.

"Saya memang tak sangka, tiba-tiba dah jadi macam ni (suara menjadi tular), alah mak tuan nenek kata, nenek rasa nak marah juga, tapi apa nak kata (benda dah jadi).

"Yang merakam suara tu seorang lagi cucu saya guna telefon bimbit dia, saya pun cakaplah (macam biasa), tiba-tiba (rakaman suara) melarat (tular), Allahuakbar," katanya.

Sapiah berkata, dia bagaimanapun tidak mengambil hati dengan ajukan orang ramai malah menyifatkan ia satu hiburan supaya lebih mengenali dialek Melaka.

"Ada juga yang ajuk sampai buat lagu dondang sayang. Macam-macam dia orang buat, saya 'dengau' je la (dengar sajalah), nak buat macam mana," katanya.

Terdahulu, Sapiah bersama Mohammad Syafiq serta jirannya, Hasnah Mohamad, 67, (Dak Senah) serta anak Hasnah, Mohammad Shaari Mohd Salleh, 35, (Dak Ayu) menerima sumbangan daripada kerajaan negeri yang disampaikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali.

SULAIMAN (dua kanan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan bergambar bersama Nek Sapiah (kanan), Dak Senah, Dak Ayu (dua kiri) dan Dak Syafiq (kiri). FOTO Amir Mamat
SULAIMAN (dua kanan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan bergambar bersama Nek Sapiah (kanan), Dak Senah, Dak Ayu (dua kiri) dan Dak Syafiq (kiri). FOTO Amir Mamat

Keempat-empat watak dalam rakaman itu iaitu Sapiah, Dak Syafik, Dak Senah dan Dak Ayu turut menjadi perhatian apabila disebut dalam ucapan Sulaiman pada Majlis Amanat Ketua Menteri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di Ayer Keroh hari ini.

Sementara itu, Mohammad Shaari berkata, panggilan Dak Ayu hanya dikenali dalam kalangan ahli keluarga terdekat saja.

"Saya dapat tahu juga ramai yang dengar rakaman suara itu mengatakan Dak Ayu adalah perempuan namun orang kampung tahu saya yang dimaksudkan nenek Sapiah," katanya.

Bagi Shafiq pula, dia terkejut apabila rakaman itu sudah tular sehingga ke Sabah sejurus beberapa jam menerimanya.

"Saya terima rakaman nota suara itu daripada adik saya, Ashikin melalui telefon bimbit isteri saya, Aisyah. Namun, selepas beberapa jam, rakan saya dari Sabah beritahu ada menerima rakaman suara nenek itu.

"Cepat betul tular. Saya terkejut juga, namun tidak menyalahkan sesiapa pun," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 2:45 PM
(DARI kiri) Mohammad Shaari atau Dak Ayu, Mohammad Syafiq atau Dak Syafiq dan Nek Sapiah. FOTO Amir Mamat
(DARI kiri) Mohammad Shaari atau Dak Ayu, Mohammad Syafiq atau Dak Syafiq dan Nek Sapiah. FOTO Amir Mamat