IBU bapa adalah anugerah yang istimewa buat setiap insan. Justeru itu, menjadi kewajipan setiap anak untuk menjaga kedua ibu bapa mereka. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
IBU bapa adalah anugerah yang istimewa buat setiap insan. Justeru itu, menjadi kewajipan setiap anak untuk menjaga kedua ibu bapa mereka. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Husna Mahmud

Warga emas yang diabaikan anak-anak bukanlah isu asing dan malah semakin menjadi barah dalam masyarakat.

Saban tahun ada saja kes warga emas ditinggalkan di tempat awam antaranya hentian rehat, surau, pusat membeli-belah seperti dilaporkan media.

Kafe Ahad mendapatkan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat WAN NORAIDAH WAN MOHD ZAIN bagi mengungkap permasalahan sebalik isu pengabaian oleh keluarga sendiri.

Ikuti perkongsian berdasarkan kaca mata agensi yang turut memainkan peranan mencapai Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) bersama wartawan NURUL HUSNA MAHMUD.

WAN Noraidah. FOTO Mohd Fadli Hamzah
WAN Noraidah. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Apakah realiti warga emas dipinggirkan keluarga sendiri termasuk anak-anak, adakah ini antara dilema perlu dihadapi JKM?

Realiti warga emas dipinggirkan oleh keluarga sendiri termasuk anak-anak adalah antara sebab warga emas ini dimasukkan ke institusi JKM.

Ia disebabkan pelbagai punca termasuklah hubungan tidak baik atau sejarah zaman muda warga emas itu dengan anak.

Berdasarkan Laporan Statistik Sebab-sebab Kemasukan Institusi Warga Emas(dalam tempoh 5 tahun), sebanyak 846 kes adalah membabitkan kes dipinggirkan atau pengabaian keluarga.

Antara sebab lain ialah sebatang kara, masalah kesihatan, ketidakupayaan, penjagaan, penderaan (emosi, fizikal dan mental), kemiskinan dan lain-lain.

Boleh puan kongsikan peranan JKM sebagai agensi bertanggungjawab memberikan perlindungan kepada warga tua.

JKM berperanan memberi penjagaan dan perlindungan kepada warga emas yang daif demi menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup mereka.

Dalam skop perkhidmatan JKM terdapat dua kategori iaitu di dalam institusi atau di luar institusi.

Bagi warga emas diberi penjagaan dan perlindungan di Institusi Kebajikan Warga Emas ialah mereka yang menghuni Rumah Seri Kenangan dan Rumah Ehsan.

Sementara di luar institusi kebajikan, kita menyantuni warga emas antaranya dengan bantuan bulanan RM500 sebulan dengan harapan warga emas dapat menjalani kehidupan dengan keluarganya.

Kita juga menyediakan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) membolehkan warga emas terus aktif selaras dengan DWEN iaitu mendayaupayakan individu, keluarga dan masyarakat demi membangunkan persekitaran yang membantu warga emas hidup sejahtera.

Ketika ini berapa ramai golongan warga emas ditempatkan di bawah pusat perlindungan JKM?

Secara keseluruhan terdapat 12 institusi warga emas di bawah JKM iaitu 10 buah Rumah Seri Kenangan dan dua buah Rumah Ehsan.

Rumah Seri Kenangan untuk warga emas berupaya menguruskan diri sendiri, sementara Rumah Ehsan untuk warga emas kategori terlantar.

Walaubagaimanapun dua buah Rumah Seri Kenangan kini dalam proses naik taraf. Jumlah penghuni untuk 10 institusi beroperasi ketika ini seramai 1,253 orang.

Adakah kes membabitkan warga emas ditempatkan di institusi mencatatkan kenaikan atau penurunan?

Dalam kes warga emas dimasukkan ke dalam institusi ada naik dan turunnya berdasarkan 'trend' statistik dalam tempoh lima tahun direkodkan oleh JKM. Kita sedia maklum catatan penurunan jumlah warga emas di institusi disebabkan penghuni meninggal dunia, bebas atau kembali kepada keluarga serta mendapat pekerjaan luar yang boleh menampung kehidupan mereka di luar institusi.

Sementara itu, pertambahan jumlah penghuni pula adalah disebabkan rujukan kes warga emas memerlukan penjagaan dan perlindungan.

Setakat ini adalah jumlah penempatan untuk pusat perlindungan warga emas adalah seiring dengan kes yang diterima?

Kemasukan warga emas ke institusi JKM adalah langkah terakhir. Sebelum warga emas ditempatkan ke institusi JKM, siasatan akan dijalankan dan beberapa alternatif dicadangkan mengikut kesesuaian kes.

Antara alternatif bagi memastikan penjagaan warga emas dapat dilaksanakan dalam komuniti, JKM juga menyediakan perkhidmatan Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) atau Home Help Services kepada warga emas yang tinggal keseorangan di rumah atau ahli keluarga tidak berkemampuan untuk menjaga mereka.

Perkhidmatan sokongan sosial disediakan oleh sukarelawan kepada warga emas. Sukarelawan akan datang ke rumah mengikut keperluan dan persetujuan warga emas bagi membantu mengemas rumah, membeli keperluan dapur, menemani ke bank atau hospital.

Setakat hari ini, Rumah Seri Kenangan (RSK) dan Rumah Ehsan masih berupaya menampung kes diterima dan memberi perlindungan kepada warga emas yang memerlukan. Sebagai alternatif, terdapat juga warga emas ditempatkan di Pusat Jagaan Warga Emas kendalian NGO mahupun swasta.

Boleh puan kongsikan juga apakah kisah paling pilu membabitkan warga emas pernah pihak JKM kendalikan?

Kalau kita amati laporan yang disediakan pegawai JKM, kebanyakan mereka ini mempunyai sejarah lampau yang memilukan.

Antaranya pergaduhan dalam keluarga, ketika mudanya meninggalkan keluarga tanpa khabar berita, tidak mempunyai hubungan baik dengan keluarga dan hidup sebatang kara.

Kesudahannya mereka walaupun sudah meninggal dunia tidak dituntut ahli keluarga dan akan diuruskan institusi JKM.

Apakah nasihat Puan kepada generasi masa kini agar lebih menghargai ibu bapa mereka?

Menjadi kewajipan setiap anak menjaga kedua ibu bapa mereka dan memberi khidmat yang terbaik. Kami berharap program intergenerasi mengenai kesedaran menyayangi dan menjaga ibu bapa dan datuk nenek perlu diperhebatkan dengan penyertaan kerajaan, swasta dan korporat.

Isu pelindungan warga emas perlu dihayati dan ditangani secara kolaboratif strategik pelbagai pihak selaras dengan slogan, 'Kebajikan adalah tanggungjawab bersama'.

Santunilah ibu bapa dengan baik kerana satu masa nanti kita juga akan menjadi tua. Mulakan didikan dari rumah dan jadikan budaya dalam kehidupan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 7:30 AM