Klang: “Pondok pengawal kami berhampiran antara satu sama lain dan kebetulan pondok pengawal tempat saya bertugas terletak di belakang pondok Iwan (Muhammad Ridzhuan) dan kejadian yang menimpanya berlaku di depan mata saya,” kata salah seorang mangsa kes tetak, K Muniandy, 61.

Menurutnya, kejadian berlaku terlalu pantas apabila suspek seramai empat orang menuju ke pondok pengawal Muhammad Ridzhuan sebelum menetak mangsa.

Katanya, suspek kemudian dipercayai menyimbah petrol dan membakar pondok pengawal berkenaan yang mana di dalamnya masih ada mangsa.

“Selepas itu mereka menyerang dan menetak saya di kepala menyebabkan saya tidak sedarkan diri,” katanya sebelum cuba melawan dengan menggunakan kerusi tetapi tidak berdaya.

Muniandy ditetak di kepala dan jari dan kini mendapatkan rawatan di di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Katanya, walaupun masih trauma namun selepas sembuh, dia terpaksa meneruskan kerjaya itu demi meneruskan kehidupan dan percaya pihak polis mampu menangkap suspek satu hari nanti.

Sementara itu, seorang lagi mangsa Aziz Salim, 57, berkata, ketika kejadian dia berada di salah satu pondok pengawal sebelum didatangi beberapa suspek dengan menaiki motosikal.

Katanya, suspek membawa parang dan mereka terus menuju ke arahnya sebelum menetaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:35 AM