MUNIANDY (kiri) meninjau di kilang beras di Sungai Korok yang disyaki cuba menipu timbangan. FOTO ihsan KPDNHEP
MUNIANDY (kiri) meninjau di kilang beras di Sungai Korok yang disyaki cuba menipu timbangan. FOTO ihsan KPDNHEP
Zuliaty Zulkiffli


Kubang Pasu: Sebuah kilang beras di daerah ini diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kubang Pasu kerana dipercayai cuba menipu timbangan beras.

Serbuan dilakukan jam 11 pagi semalam di kawasan Sungai Korok selepas KPDNHEP Kubang Pasu menerima maklumat berhubung penipuan dilakukan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP Kubang Pasu, K Muniandy berkata, hasil siasatan mendapati kilang beras itu menjalankan aktiviti pembungkusan dalam pelbagai kuantiti.

Beliau berkata, hasil maklumat orang ramai, serbuan mendapati beras yang dibungkus tidak menepati timbangan tepat.

"Setiap kampit beras seberat lima kilogram yang ditimbang oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP mendapati beratnya hanya 4.94 kilogram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muniandy berkata, justeru tindakan diambil mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana representasi palsu mengenai kuantiti berat yang tidak tepat bagi setiap kampit beras atau lima kilogram .

Katanya, jika disabit dengan kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 (syarikat).

"Saya menasihatkan semua peniaga supaya mematuhi undang undang yang ditetapkan oleh kerajaan dan KPDNHEP akan mengambil tindakan yang tegas jika ingkar mematuhi.

"Orang ramai yang boleh salurkan aduan jika ada penyelewengan dalam perniagaan melalui portal [email protected] atau Call Centre 1800 886 800," katanya.

Muniandy berkata, semua rampasan dianggarkan bernilai RM1,200 dan disita untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 4:34 PM