BERNAMA

Georgetown: Seorang pegawai polis dan lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan melepaskan 11 warga asing yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam Macau Scam di Pulau Pinang tahun lalu.

Tertuduh Asisten Superintendan Mohamad Azrim Abu Bakar, 41, dan S. Muniandy, 62, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Azrim didakwa mengingkari arahan undang-undang untuk menyerahkan 11 warga asing kepada Jabatan Imigresen, dengan niat bahawa melalui tindakan itu semua warga asing terbabit dapat diselamatkan daripada tindakan pengusiran.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, antara jam 2 hingga 3 petang pada 9 Februari tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Muniandy pula didakwa bersubahat membantu Mohamad Azrim melepaskan kesemua 11 warga asing itu di lokasi, waktu, dan tarikh yang sama.

Muniandy yang diisytihar muflis pada 2007 didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Melati Diana membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, dan menetapkan 18 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mohamad Azrim diwakili oleh peguam M. Athimulan, T. Tamil Selvam dan K. Mahendran manakala Muniandy diwakili peguam Hari Prassaad Rao.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazri Abdul Rahim.

Pada Mac tahun lalu, polis Pulau Pinang menahan lapan individu terdiri daripada pegawai polis, seorang kakitangan Jabatan Imigresen serta orang awam bagi membantu siasatan kes melepaskan suspek Macau Scam warga China di Pulau Pinang.

Dalam kejadian itu, seramai 11 tahanan Macau Scam terbabit dikatakan diserahkan kepada seorang 'pegawai' imigresen untuk dihantar ke depoh tahanan tetapi tidak dihantar seperti yang sepatutnya.

MUNIANDY mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini. FOTO Bernama.
MUNIANDY mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini. FOTO Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 4:46 PM