Beluran: Usaha pihak berkuasa memburu seorang tokan dadah dikenali sebagai Mandur Nordin Nangoh, membuahkan hasil apabila lelaki berusia 53 tahun itu berjaya dicekup dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gana Jati, semalam.

Dalam serbuan jam 12.30 tengah malam itu, suspek dikepung sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IDP) Beluran sebelum diberkas.

Hasil pemeriksaan menemui 12.7 gram dadah dipercayai syabu disorokkan di dalam bilik air di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan V Sivanathan berkata, polis yang melakukan risikan mendapati kediaman itu menjadi lokasi persembunyian suspek.

“Individu yang dikenali ramai dengan panggilan Mandur Nordin Nangoh akhirnya berjaya ditahan selepas pergerakannya diekori polis sejak sebulan lalu.

“Pemeriksaan menemui sembilan peket plastik mengandungi ketulan hablur disyaki syabu diletakkan di dalam sampul surat sebelum disorok dalam bilik mandi,” katanya.

Sivanathan berkata, sampul berkenaan kemudian dibalut dengan pita pelekat berkemungkinan bagi mengelakkan dadah terbabit daripada terkena air.

“Siasatan lanjut mendapati lelaki berusia 53 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai berasal dari Pendrang, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 7:55 AM