LELAKI tempatan ditangkap bersama rokok seludup di Beluran.
LELAKI tempatan ditangkap bersama rokok seludup di Beluran.
Hazsyah Abdul Rahman dan Melvin Joni


Beluran: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20, menahan lelaki tempatan yang disyaki cuba menyeludup 4,040 bungkus rokok di jalan Kampung Manduring, dekat sini, semalam.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, suspek ditahan ketika menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux di laluan tikus (Jalan Kampung Manduring), 'Road Check Point' (RCP) Sapi Nangoh, kira-kira jam 9.30 pagi.

Menurutnya, kenderaan itu ditahan selepas dilihat dipandu suspek berusia 39 tahun dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik ditahan dan diperiksa, anggota bertugas menemui rokok seludup yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang kenderaan berkenaan.

"Antaranya rokok seludup yang ditemui adalah 1,600 bungkus rokok jenama Astro Merah; 1,000 bungkus rokok jenama Era Biru dan 50 bungkus rokok jenama Astro Hijau.

"Semua rokok seludup berkenaan dianggarkan bernilai RM113,320," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, turut dirampas kenderaan yang digunakan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.

Sementara itu di Miri, Pasukan Polis Marin (PPM) Sarawak merampas rokok kretek dianggarkan bernilai RM163,000 susulan penahanan dua lelaki di kawasan Mosjaya kira-kira jam 11.30 pagi, hari ini.

Komander PPM Sarawak Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan selepas intipan kira-kira empat jam dalam Op Kontraban, di Jalan Caly Cina 1 Mosjaya, di sini, selepas mengekori sebuah lori.

"Hasil pemeriksaan lori terbabit didapati membawa muatan rokok kretek dan tidak mempunyai tanda cukai.

"Kedua-dua suspek yang juga warga tempatan gagal mengemukakan sebarang surat atau dokumen yang sah daripada kastam," katanya dalam kenyataan di sini.

Shamsol berkata, kesemua barang rampasan termasuk suspek dibawa ke Markas Taktikal Miri untuk tindakan lanjut, dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 6:46 PM