PEKET berisi hablur jernih disyaki syabu. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
PEKET berisi hablur jernih disyaki syabu. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


Beluran: Sepasukan polis bergelut beberapa minit dengan seorang pengedar dadah sebelum berjaya menahannya ketika cuba meloloskan diri dalam Ops Tapis, di simpang masuk sebuah stesen minyak kilometer 52, Jalan Beluran, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, suspek berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pemandu kereta sapu ditahan bersama satu peket plastik mengandungi dadah jenis syabu seberat 53.3 gram dengan nilai anggaran RM7,000.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan V Shivananthan berkata, sebelum memberkas suspek, pihaknya sedang menjalankan Ops Tapis, lalu menahan sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dipandu seorang lelaki.

"Selepas memperkenalkan diri sebagai polis untuk membuat pemeriksaan, suspek terkejut dan melarikan diri dengan keluar dari kereta tetapi berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

"Siasatan lanjut, suspek menyerahkan satu bungkusan hitam yang disembunyikan dalam beg silang dengan mengandungi dadah jenis syabu seberat 53.30 gram," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Shivananthan berkata, suspek bersama barang rampsan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 12:33 PM