RAHMAT Rudat melakukan tinjauan Sungai Labuk dari jambatan Kampung Nangoh, Beluran. FOTO HAZSYAH ABDUL RAHMAN, IHSAN BOMBA
RAHMAT Rudat melakukan tinjauan Sungai Labuk dari jambatan Kampung Nangoh, Beluran. FOTO HAZSYAH ABDUL RAHMAN, IHSAN BOMBA
Hazsyah Abdul Rahman

Beluran: Paras air Sungai Labuk dan sungai di Kampung Rancangan Cocos, di sini, naik mendadak berikutan hujan berterusan sejak kelmarin sehingga mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Rahmat Rudat berkata, air sungai melimpah menyebabkan banjir di lebih sembilan kampung di Zon Labuk, namun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

Menurutnya, kampung yang dilanda banjir antaranya Kampung Pamol, Terasak, Nangoh, Perancangan, Bakong-Bakong, Tagas-Tagas, Balaban Jaya, Muanad Tiga dan Kampung Rampek.

"Hasil pemantauan, dua sungai berlaku peningkatan. Beberapa jalan kampung seperti ke Pamol turut dinaiki air.

"Bagaimanapun, keadaan masih terkawal dan tiada PPS dibuka setakat ini," katanya ketika ditemui ketika menjalankan Operasi Pemantauan Harian di sini, hari ini.

Rahmat berkata, pihaknya meminta penduduk sentiasa bersiap-sedia dan menghubungi bomba dengan segera sekiranya memerlukan bantuan pemindahan.

"Kami nasihatkan masyarakat sekiranya air sudah mula naik, segeralah berpindah ke tempat yang tinggi.

"Buat laporan awal bagi membolehkan bomba membuat pemindahan awal dan mengurangkan risiko," katanya

Dalam pada itu, Rahmat berkata, satu kejadian tanah runtuh turut berlaku di Kampung Balaban Jaya.

Menurutnya, kejadian berlaku semalam dan hanya dilaporkan hari ini.

"Tebing bukit yang runtuh didapati turut menghempap bahagian depan sebuah rumah berdekatan.

"Namun, kejadian tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 7:02 PM