Suspek diburu polis.
Suspek diburu polis.
Hazsyah Abdul Rahman


Beluran: Polis meminta orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya memiliki maklumat suspek lelaki berkaitan kes rogol dan samun yang disyaki melarikan diri di Kampung Nangoh, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, suspek berusia 29 tahun dikatakan melarikan diri selepas dibawa ke lokasi berdekatan oleh pihak polis bagi menjalankan siasatan lanjut membabitkan kes rogol dan samun.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintenden V Shivananthan berkata, pihaknya masih berusaha mengesan suspek terbabit sehingga petang ini.

"Sebelum ini, suspek diberkas selepas disyaki terbabit satu kes rogol dan samun. Orang ramai yang terserempak dengan lelaki terbabit diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran di talian 089-511222 untuk menyalurkan maklumat dengan segera," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Pada Isnin lalu, suspek dicekup selepas disyaki terbabit kes rogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dan turut menyamun mangsa bersama tunangnya.

Suspek yang juga warga Indonesia dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 4:51 PM