PENDUDUK bergambar bersama buaya yang ditangkap.
PENDUDUK bergambar bersama buaya yang ditangkap.

Kota Samarahan: Kebimbangan lebih 1,000 penduduk di Kampung Maranek di sini, masih belum reda walaupun tiga buaya berjaya ditangkap jam 5 petang, kelmarin.

Ketiga-tiga reptilia terbabit, masing-masing berukuran 0.6 meter hingga 1.5 meter panjang, ditangkap selepas memasuki perangkap dipasang Jabatan Perhutanan Sarawak (JHS) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Taman Negara (PERHILITAN) yang dipasang sejak November lalu.

Penduduk, Aziz Mohammad berkata, walaupun JHS dan PERHILITAN dapat menangkap tiga buaya berkenaan, kebimbangan penduduk terhadap ancaman reptilia ganas itu tidak berakhir.

“Apa yang kami dapati, populasi buaya semakin bertambah di kampung ini (Kampung Maranek). Ini menimbulkan ketakutan kepada penduduk khasnya mereka yang masih menjadikan sungai sebagai sumber rezeki.

“Kebimbangan penduduk diburukkan lagi dengan kes seorang kanak-kanak di baham buaya di sini, baru-baru ini. Selepas kejadian itu, tiada lagi penduduk berani turun ke sungai untuk menangkap ikan dan memancing udang kerana khuatir dengan keselamatan diri,” katanya.

Katanya, penduduk turut meminta pihak berkuasa memasang papan tanda bagi memastikan orang ramai tahu kewujudan buaya di sungai itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:11 AM