SEEKOR buaya mati ditembak  ketika membaham ternakan ayam di bawah sebuah rumah penduduk kampung dalam kejadian di Kampung Dato, Kuala Lawas pada 19 Disember 2017. FOTO NSTP
SEEKOR buaya mati ditembak ketika membaham ternakan ayam di bawah sebuah rumah penduduk kampung dalam kejadian di Kampung Dato, Kuala Lawas pada 19 Disember 2017. FOTO NSTP
Kandau Sidi dan Muhd Amirul Faiz Ahmad

Kuching: Andainya ada antara anda yang pernah menjamah daging buaya khususnya untuk kesihatan, jangan sesekali memberanikan diri turun ke mana-mana sungai di Sarawak jika masih sayangkan nyawa!

Ini kerana terdapat 120,000 buaya yang hidup di sepanjang 20,000 kilometer laluan sungai di negeri ini sedia menanti kunjungan anda untuk ‘membalas dendam’ disebabkan keupayaannya menghidu bau daging keluarganya yang dimakan manusia.

Ia mungkin kedengaran agak aneh atau karut namun perkara itu antara kepercayaan kuat dipegang dalam kalangan masyarakat Iban dan Melayu di Bumi Kenyalang selain menepati sifat pendendam dimiliki Sang Bedal.

Dalam budaya masyarakat tempatan, reptilia itu dipercayai memiliki keupayaan mengenal pasti bau daging ‘saudaranya’ yang meresap dalam tubuh manusia yang memakan daging berkenaan, sekali gus mengundang ancaman serangan ganas dan konflik dengan manusia.

ANGGOTA Pasukan Tindakan Khas Hidupan Liar (SWAT) menggunakan antara satu daripada kaedah penangkapan buaya menerusi pemasangan umpan bergantung kepada saiz buaya yang mahu ditangkap. FOTO Ihsan SFC
ANGGOTA Pasukan Tindakan Khas Hidupan Liar (SWAT) menggunakan antara satu daripada kaedah penangkapan buaya menerusi pemasangan umpan bergantung kepada saiz buaya yang mahu ditangkap. FOTO Ihsan SFC

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Hamden Mohammad berkata, sehingga kini dakwaan itu tidak dapat dibuktikan secara saintifik dan sekadar menjadi kepercayaan mitos setempat namun ia kekal menjadi pegangan penduduk tempatan khususnya yang menetap di persisiran sungai negeri ini.

“Orang Sarawak yang mengetahui pantang-larang itu sehingga kini tidak berani ‘turun’ ke sungai sama ada untuk menangkap ikan atau menggunakan sungai sebagai laluan.

“Bagi kebanyakan penduduk negeri ini, buaya hidupan penuh misteri yang sarat dengan pelbagai kisah aneh yang sukar dibuktikan.

“Bagaimanapun, belum ada saintis sanggup memakan daging buaya dan turun ke sungai demi membuktikan mitos buaya menyerang manusia yang pernah memakan daging reptilia itu sekadar kepercayaan karut semata-mata,” katanya.

Hamden berkata, pantang-larang itu juga termasuk memakan telur buaya yang dikategorikan sebagai makanan eksotik.

SAIZ buaya yang ditangkap diukur bagi tujuan kajian. FOTO Ihsan SFC
SAIZ buaya yang ditangkap diukur bagi tujuan kajian. FOTO Ihsan SFC

“Sebagai agensi bertanggungjawab melindungi buaya di Sarawak, JHS sejak 2016 sudah membenarkan pemburuan buaya bagi tujuan penakaian (culling) mahupun bagi tujuan komersial selepas mengambil kira populasi buaya yang semakin meningkat sehingga mengundang serangan terhadap manusia,” katanya.

Difahamkan, daging reptilia itu berwarna putih, dengan bahagian paling enak untuk dinikmati ialah bahagian ekornya kerana kandungan lemak rendah.

Malah, ia dikatakan lebih enak daripada ayam. Khasiat yang cukup popular antaranya mengubati asma, mencegah diabetes, memulihkan penyakit jantung dan dijadikan ubat kulit selain meningkatkan sistem metabolisme badan serta merangsang nafsu seks.

DAGING buaya paling enak untuk dinikmati ialah bahagian ekornya kerana kandungan lemak rendah. FOTO Nadim Bokhari
DAGING buaya paling enak untuk dinikmati ialah bahagian ekornya kerana kandungan lemak rendah. FOTO Nadim Bokhari

Hamden berkata, sehingga kini, sebanyak 50 permit khas dikeluarkan bagi membenarkan pemburuan buaya bagi tujuan komersial, namun atas kekangan pasaran yang terhad di Sarawak, aktiviti pemburuan itu tidak mendapat sambutan.

“Jika mahu memasarkan daging buaya ke luar negara, prosesnya sukar kerana ada beberapa peraturan ketat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 10:00 AM