Buaya jantan dikenali 'Bujang Naie' yang menyerang seorang nelayan ketika menjala udang di Kampung Sungai Mata, Kota Samarahan, berjaya ditangkap petang semalam. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Buaya jantan dikenali 'Bujang Naie' yang menyerang seorang nelayan ketika menjala udang di Kampung Sungai Mata, Kota Samarahan, berjaya ditangkap petang semalam. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Kota Samarahan: Buaya jantan dikenali 'Bujang Naie' dalam kalangan penduduk yang menyerang seorang nelayan ketika menjala udang di Kampung Sungai Mata di sini, minggu lalu, berjaya ditangkap petang semalam.

Buaya sepanjang 3.6 meter dianggarkan seberat 400 kilogram itu ditangkap Pasukan Pemburu Buaya Samarahan di sungai Batang Samarahan berhampiran Kampung Naie kira-kira jam jam 3 petang.

Penyelaras Pasukan Pemburu Buaya Samarahan, Kanselor Aziz Mohammad berkata, reptilia berkenaan berjaya ditangkap menggunakan kaedah pancing dan tombak.

"Kita melancarkan operasi memburu dan menangkap buaya ganas ini selepas menyerang mangsa minggu lalu.

"Selepas beberapa hari memasang kail di sepanjang kawasan kejadian buaya terbabit memakan umpan yang dipasang dan ditangkap menggunakan tombak," katanya di sini hari ini.

Menurut Kaunselor Majlis Perbandaran Kota Samarahan itu, buaya itu dibunuh dan laporan polis serta pemakluman penangkapan reptilia berkenaan dibuat kepada pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC).

"Operasi menangkap buaya akan disambung minggu depan untuk menangkap seekor lagi buaya besar berdasarkan makluman penduduk Kampung Maranek yang sering melihat kelibatnya di sungai kampung itu," katanya.

Dalam kejadian pada 15 Ogos lalu, seorang nelayan dari Kampung Naie, Mohd Esa Joeng, 35, cedera di paha kiri dan lengan tangan kanan selepas diserang buaya ganas.

Ketika kejadian jam 5 petang itu, dia bersama bapanya, Joeng Seman,64, dan adik iparnya, Hanafi Eddie, 25, menjala udang menggunakan perahu di sungai Kampung Sungai Mata dan berada dalam sungai bagi menarik jala yang tersangkut.

Bapanya yang terkejut melihat kejadian itu memberanikan diri dengan terjun ke dalam sungai membantu anaknya dengan mencucuk mata buaya berkenaan bagi mengelak reptilia ganas itu menarik anaknya ke tengah sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 4:45 PM