ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menangkap buaya di hadapan rumah, di Kampung Tajau, Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menangkap buaya di hadapan rumah, di Kampung Tajau, Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


KEBIMBANGAN keluarga yang kerap melihat kelibat buaya berhampiran rumah mereka sejak lebih seminggu lalu berakhir apabila reptilia itu mengenai jerat sebelum ditangkap di Kampung Tajau, Tuaran, tengah malam tadi.

Difahamkan, dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, reptilia berkenaan memakan umpan daging ayam yang dipasang penduduk, Junqadre Saidin, 36.

Junqadre berkata, dia menggunakan umpan daging ayam yang disangkut pada mata kail sebesar genggaman tangan dan mengikatnya di bawah titi iaitu laluan ke rumahnya.

"Buaya ini kerap kelihatan di kawasan bakau terutama berhampiran rumah dan ini menyebabkan kami sekeluarga risau keluar rumah atau menangkap ikan," katanya ketika ditemui NSTP.

Katanya, buaya itu sebenarnya mengenai umpan kelmarin, namun terlepas kerana ia terlalu agresif hingga laluan titi bergegar selepas reptilia itu berhempas pulas untuk melepaskan diri.

"Kami tidak pasti sama ada masih terdapat reptilia sama di kawasan ini, namun kami sekeluarga dan penduduk lain sedikit lega buaya itu sudah ditangkap," katanya.

Sementara itu, pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Unit Tuaran, Paulina Francis berkata, sebaik menerima panggilan 12.35 tengah malam, sepasukan anggota bergegas ke kampung berkenaan.

"Sebaik tiba, buaya itu didapati bertindak agresif, namun berjaya ditangkap sebelum operasi ditamatkan 20 minit kemudian"

"Buaya seberat 20 kilogram itu diikat dan diletakkan dalam sangkar di pejabat APM sebelum dihantar ke Jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri," katanya dihubungi.

Pada 27 Mei lalu, Junqadre membuat aduan selepas melihat kelibat buaya yang membaham ayam peliharaan ketika memancing di halaman rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 11:47 AM