Alor Gajah: Satu cadangan akan dikemukakan kepada kerajaan untuk menurunkan harga minyak RON95 sekiranya harga minyak mentah dunia turun pada paras sekitar AS$70-AS$75 (RM234.20-RM250.90) setong.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, cadangan itu bersesuaian dengan pada paras harga berkenaan yang melepasi kadar subsidi kerajaan ke atas bahan api itu dengan ketika ini, harga minyak mentah pasaran ialah AS$79.41 (RM265.70) setong.

“Saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Menteri Kewangan II dan Jawatankuasa Dasar Fiskal (Jika paras minyak mentah turun kepada paras berkenaan) supaya membuat keputusan untuk menurunkan harga.

“Saya difahamkan pegawai yang bertanggungjawab mengenai subsidi minyak, jika harga minyak mentah turun kepada paras itu (AS$70-AS$75 setong), maka ia sudah melepasi tahap subsidi RM2.30 itu,” katanya selepas Majlis Penerangan GST dan Taklimat Isu Semasa anjuran Parlimen Masjid Tanah di IKBN Alor Gajah, di sini, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh dan Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Ahmad berkata, cadangan supaya tiada cukai jualan dikenakan kepada bahan api itu akan dikemukakan sekiranya harga minyak mentah dunia turun.

Katanya, cukai itu tidak diperlukan lagi kerana ketika ini juga tidak dikenakan cukai itu, malah bermula 1 April depan, cukai itu akan digantikan dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Seperti dimaklumkan sebelum ini, GST tidak akan dikenakan kepada minyak RON95 dan diesel,” katanya.

Mengenai kenyataan harga rumah akan naik sehingga tiga peratus seperti diumumkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Abdul Rahman Dahlan baru-baru ini, beliau berkata, berdasarkan perkiraan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan kementeriannya, harga rumah dijangka naik sekitar satu hingga dua peratus dan bukannya tiga peratus.

“Kenaikan ini hanyalah bersifat sementara,” katanya.

Katanya, antara kaedah mengekang kenaikan harga rumah termasuk menaikkan Cukai Keuntungan Harta Tanah daripada 15 peratus kepada 30 peratus, menaikkan harga rumah daripada RM500,000 kepada RM1 juta kepada pembeli asing serta melarang pemaju melaksanakan projek bercirikan Skim Pemaju Tanggung Faedah (Developer Interest Bearing Scheme).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:08 AM