Kuala Lumpur: Persidangan Dewan Rakyat yang lazimnya kecoh dengan gelagat ahli parlimen tiba-tiba bertukar sepi apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menunjukkan ketegasannya apabila membuat teguran keras, semalam.

Teguran dibuat berikutan ahli parlimen mengambil masa terlalu panjang dan kerap berhujah sebelum bertanyakan soalan pada sesi soal jawab pagi semalam.

Terdahulu, Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) mengajukan soalan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Anak Belaun mengenai sistem peperiksaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) secara atas talian.

Bagaimanapun, tindakan beliau yang tidak terus mengajukan soalan terbabit menyebabkan Pandikar Amin mula membuat teguran kepada sidang dewan.

“Yang Berhormat (YB) sila duduk. YB, seringkali saya ingatkan soalan tambahan singkat, bukan berhujah.

“Saya ingin buat komen secara serius. Saya mahu ahli YB tunjukkan kerjasama, sekarang hampir sejam dan soalan yang dijawab cuma dua setengah. Seringkali saya ingatkan jangan apabila bertanya soalan tambahan berlingkar-lingkar kerana peraturan mesyuarat 24 tidak membenarkan.

“Kalau menteri, jawab saja kepada soalan. Jangan babitkan dasar, kerana soalan keempat mustahak, kelima mustahak dan keenam pun mustahak,” katanya.

Beliau mengingatkan Ahli Parlimen kementerian lain menyediakan jawapan kepada soalan disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:11 AM