Kuala Lumpur: Teguran demi teguran dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika mengendalikan sesi persidangan, semalam.

Beliau menunjukkan ketegasannya selepas melihat beberapa gelagat Ahli Parlimen hingga ada yang mencabar kesabarannya.

Ketika sesi soal jawab pada pagi persidangan, beliau menegur semua ahli Parlimen yang gemar bertanyakan soalan berhubung dasar menyebabkan jawapan yang disediakan terlalu panjang dan membazir masa.

Teguran itu dilakukan ketika giliran Datuk Norah Abd Rahman (BN-Tanjong Manis) mengajukan soalan berhubung sasaran 55 peratus penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan menjelang 2015.

Soalan itu dijawab Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun yang mengambil masa lebih 10 minit untuk membaca keseluruhan jawapan.

Kesabaran Pandikar Amin sekali lagi dicabar ketika sesi soal jawab tamat jam 11.30 pagi.

Ini disebabkan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) berkeras mahu membangkitkan usul mengenai buruh paksa dalam sektor elektrik dan elektronik di negara seperti laporan NGO global, Verite biarpun Pandikar Amin menjelaskan beliau sudah memberi jawapan bahawa usul Bayan Baru tidak memenuhi peraturan mesyuarat 18(1) yang memerlukan ia disegerakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 7:07 AM