Ngeh bertikam lidah dengan Ronald pagi tadi Dewan Rakyat selepas diarah keluar dewan (kiri). Ngeh dan Sivakumar semasa sidang media mengkritik Pandikar (kanan) dan Nga (kanan atas)
Ngeh bertikam lidah dengan Ronald pagi tadi Dewan Rakyat selepas diarah keluar dewan (kiri). Ngeh dan Sivakumar semasa sidang media mengkritik Pandikar (kanan) dan Nga (kanan atas)
Mohd Anwar Patho Rohman; Hidir Reduan; Luqman Arif Abdul Karim; Nor Ain Mohamed Radhi dan Ahmad Suhael Adnan

TIGA Ahli Parlimen DAP pagi tadi diarahkan keluar dari Dewan Rakyat dan digantung selama 10 hari bermula hari ini kerana menghina institusi Parlimen.

Mereka adalah Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas), Nga Kor Ming (Taiping) dan Sivakumar Varatharaju Naidu (Batu Gajah).

Arahan itu dikeluarkan melalui pemasyhuran Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kira-kira jam 11 pagi tadi.

Ia dikeluarkan susulan ketiga-tiga Ahli Parlimen pembangkang itu mengeluarkan kenyataan media yang disifatkan sebagai menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat sebagai pengerusi mesyuarat, serta mencemarkan prestij Dewan Rakyat.

Selain itu, ketiga-tiga Ahli Parlimen DAP itu juga enggan memohon maaf secara terbuka kepada Pandikar, sekali gus tidak menghormati kuasa Yang di-Pertua serta menghina Parlimen.

"Ingin saya ingatkan, semua perbuatan dan kenyataan secara bersama yang dibuat ketiga-tiga Ahli Parlimen ini adalah satu penghinaan terhadap Yang di-Pertua yang menjalankan tugas sebagai Pengerusi Dewan Rakyat, demikian bererti penghinaan kepada Dewan Rakyat.

"Maka, ia adalah perbuatan menghina Majlis Mesyuarat dan tidak mengendahkan kuasa Pengerusi Majlis Mesyuarat seperti dinyatakan dalam Peraturan Mesyuarat 44 (2).

"Justeru itu, saya memerintahkan Ahli Parlimen Beruas, Ahli Parlimen Taiping dan Ahli Parlimen Batu Gajah untuk keluar daripada Majlis Mesyuarat selama 10 hari mulai hari ini," katanya seperti dibacakan Ronald di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 7 Mac lalu, Ngeh, Nga dan Sivakumar mengeluarkan kenyataan media secara bersama dan mendakwa Pandikar sebagai bersekutu menutup skandal rasuah kerana menolak usul berkaitan penyitaan kapal mewah Equinimity, serta soalan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan menggesa Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu meletak jawatan.

Pandikar kemudian menulis surat para 13 Mac lalu meminta ketiga-tiga Ahli Parlimen itu memohon maaf secara terbuka di Dewan Rakyat kerana mengeluarkan kenyataan penghinaan itu namun mereka enggan berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 1:05 PM