Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Sidang Dewan Rakyat semalam hangat apabila Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing bertegang urat dengan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr James Dawos Mamit berikutan isu banjir di kawasan berkenaan baru-baru ini.

King Sing yang bangun mencelah semasa James menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat kementerian mendesak Timbalan Menteri itu memberi kata putus berkaitan usaha mengatasi masalah banjir di bandar pelabuhan tersebut.

Beliau berkata, kementerian sepatutnya menyegerakan kerja mendalamkan Sungai Sibiyu yang melimpah setiap kali hujan lebat berlaku di kawasan itu.

Bagaimanapun, James menjawab bahawa usaha sedang dilakukan untuk menyelesaikan masalah banjir terbabit.

Bagaimanapun wakil Bintulu dari Barisan Nasional (BN) tersebut masih tidak berpuas hati dengan jawapan terbabit dan terus mendesak James membuat keputusan segera.

James yang agak marah dengan tegas berkata: “Saya sudah jawab soalan Bintulu, kita kena tunggu kelulusan kementerian berkaitan untuk mengatasi masalah itu, bukan terus dapat peruntukan untuk buat.”

King Sing yang masih tidak berpuas hati, turut meninggikan suara dengan menuduh kementerian tersebut tidak mengambil berat isu banjir di kawasannya namun dibantah James.

Keadaan semakin tegang itu memaksa Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia masuk campur dan meminta kedua-dua Ahli Parlimen duduk, bagaimanapun arahan berkenaan tidak dipedulikan.

Perang mulut yang berlarutan itu akhirnya dapat diredakan oleh Pandikar Amin yang kemudian memberi peringatan kepada mereka supaya menghormati Dewan dengan tidak mengulangi gelagat seperti itu.

Beliau turut mengingatkan James supaya lebih bersabar.

Lembaga Kemajuan Bintulu dalam kajiannya baru-baru ini mendapati paras air Sungai Sibiyu yang mencecah sehingga enam meter adalah sebahagian daripada punca banjir dan lebih tinggi daripada paras Jalan Sibiyu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:12 AM