LATIHAN menunggang kuda juga membantu menyesuaikan penunggang dan kuda.
LATIHAN menunggang kuda juga membantu menyesuaikan penunggang dan kuda.
Nurul Husna Mahmud

SEJARAH kuda dan manusia dikatakan bermula sejak 3500 Sebelum Masihi (SM) berdasarkan penemuan pakar paleontologi yang menemui susur galur kuda peliharaan masa kini dengan fosil haiwan dikatakan pada era Babylon sudah ada.

Melihat kepada sejarah yang panjang itu, kuda juga antara haiwan peliharaan yang begitu dekat dengan manusia dan memerlukan jalinan hubungan kuat.

Menerusi tabiat atau perlakuan kuda, pemilik haiwan itu termasuk jurulatih boleh mengenal pasti keadaan yang tidak selesa atau kuda peliharaan terbabit tidak sedia untuk 'didekati' atau ditunggang.

Hal itu diakui Pengasas dan Pengetua Akademi JEQMA, Hulu Langat, Selangor, Azham Affif Ishak, 42, yang mempunyai pengalaman hampir 10 tahun dalam sukan berkuda.

Kata Azham, selepas bertahun-tahun mengendalikan pelbagai baka kuda antaranya padi tempatan, Cob, Thoroughbred, Argentine Criollo, Arab, dia boleh dikatakan arif dengan tabiat atau 'mood' haiwan itu.

"Asam garam dalam sukan berkuda, saya sendiri pernah digigit, ditendang, dilanggar, dirempuh dan dijatuhkan haiwan itu terutama di fasa awal belajar atau melatih kuda.

"Apabila saya berguru dengan Sarjan Marshal Ajail di Malaysian Armed Forces Equestrian Centre (Mafec) Sungai Besi, Kuala Lumpur saya sudah lali dengan pengalaman cedera atau luka berparut akibat aktiviti berkuda.

"Saya anggap empat tahun pertama bersama kuda adalah proses 'menggali' dan memahirkan saya dalam mengenali tabiat dan kelakuan kuda," katanya yang mendapat pendedahan ilmu menunggang kuda dan sukan memanah berkuda secara formal dengan MAFEC.

Tambah Azham yang lebih mesra disapa Cikgu Am, kuda adalah haiwan sensitif dan boleh 'mengesan' emosi penunggang atau pemiliknya.

CIKGU Am kini melatih aktiviti menunggang.
CIKGU Am kini melatih aktiviti menunggang.

"Kuda ada deria atau naluri kuat terutama dengan pemilik atau jurulatihnya. Kena ada jalinan atau 'bonding' yang baik dipupuk dengan haiwan terbabit.

"Jika pemilik kuda sudah latih rutin tertentu seperti beri makanan dan latihan yang sepatutnya untuk kuda peliharaan mereka, haiwan itu mudah diuruskan.

"Selain itu, sediakan persekitaran dan kemudahan yang efisien serta selamat untuk kuda sehingga kepada pengendali, jurulatih, keluarga dan orang awam," katanya.

Tambah Cikgu Am lagi, kuda juga seperti manusia, apabila ia marah atau tidak selesa akan ada isyarat yang menunjukkan keadaan itu.

"Tanda awal kuda tidak selesa atau bersedia untuk membela dirinya (gigit, sepak, rempuh) ialah apabila kedua-dua telinganya merapat ke belakang kepala ketika menghampirinya.

"Ini tip penting terutama jika mahu ketengahkan sukan berkuda kepada kanak-kanak dari awal usia mereka supaya persekitaran aktiviti atau memelihara kuda itu suatu yang selamat dan harmoni.

"Sentiasa peka dengan bahasa kuda seperti pergerakan telinga, bunyi, reaksi badan dan pandangan matanya," katanya.

Cikgu Am turut memaklumkan kuda yang lebih senang serta selamat dikendalikan adalah kuda yang sudah dilatih sebaiknya dengan rutin tertentu.

Selain itu, pilih kuda yang sudah 'dikembiri' berbanding kuda betina dan kuda jantan serta yang lebih berusia (sekitar 9 tahun dan ke atas).

Cara lain untuk kuda lebih tenang ialah boleh beri snek kesukaan haiwan itu seperti lobak atau epal supaya ia lebih jinak.

"Dalam menjinakkan kuda, ada pelbagai cara. Pemilik atau penunggang kuda biasanya lebih mudah 'tackle' haiwan itu ketika melakukan rutin penjagaan seperti beri makan, memberus dan menunggang.

"Ini juga membantu melatih kuda itu sendiri supaya selesa dengan ramai orang selain pemiliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 6:30 AM