MULA menyasar sasaran.
MULA menyasar sasaran.
PESERTA wanita tidak kurang hebat menarik busur.
PESERTA wanita tidak kurang hebat menarik busur.
MAHIR mengendalikan busur.
MAHIR mengendalikan busur.
FOKUS amat penting untuk membidik tepat pada sasaran
FOKUS amat penting untuk membidik tepat pada sasaran
ANTARA peserta yang menghadiri bengkel.
ANTARA peserta yang menghadiri bengkel.
Nurul Husna Mahmud


Mahu mengembangkan riadah berlandaskan sunah kepada generasi muda antara objektif penganjuran Kursus Memanah Berkuda di RH Equestrian Centre Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Dua komuniti sukan Riyadh Equestrian dan Pemanah Jawi bersama jurulatih berpengalaman Md Rino Abd Rani dan Azham Affif Ishak, nyata tidak lokek berkongsi tip mengenai sukan itu kepada peserta.

Sukan memanah antara yang sukar kerana memerlukan fokus dan koordinasi tangan serta mata yang baik. Apatah lagi cabaran berganda bagi peserta bengkel ini memerlukan mereka mengendali kuda ketika memanah.

Menariknya, aktiviti ini bukan saja mendapat perhatian peminat sukan itu dalam kalangan pemanah tempatan, malah luar negara apabila terdapat wakil kelab dari Singapura turut menyertai kelas sama.

Jurulatih Riyadh Equestrian, Md Rino berkata, bengkel kali ini sesuai untuk mereka yang pernah mengikuti bengkel asas memanah mahupun aktiviti berkuda sebelum ini.

“Biarpun bengkel kali ini kesinambungan Kursus ‘Beginner’ & ‘Intermediate - Lower’ yang dikhususkan kepada peserta memiliki kemahiran menunggang kuda dan memanah.

“Latar peserta kami pelbagai kerana ada yang sudah pandai memanah, tidak kurang juga kali pertama melentur busur. Kami turut disertai peserta berusia 12 tahun yang ditemani penjaga sehinggalah pemanah berusia 50-an.

“Pendekatan kami intensif dan eksklusif kerana terdapat dua skil serentak iaitu kemahiran memanah serta menunggang kuda. Jadi untuk kumpulan kecil ini, saya dan rakan jurulatih Azham mempraktikkan pendekatan ‘one-to-one coaching’.

“Buat mereka yang tidak pernah mengenali sukan ini, kuda untuk memanah perlu dilatih dan bukan semua kuda equestrian boleh ditunggang ketika memanah. Alhamdulillah di RH Equestrian ada kuda boleh ditunggang ketika memanah.

“Dari pagi mereka dilatih memanah sasaran sambil berlari anak kerana atas kuda konsepnya ‘mobile’ atau bergerak berbanding memanah tradisi atau biasa normalnya bersifat statik,” katanya.

Menurutnya, sesi bengkel memanah berkuda berlangsung jam 8 pagi hingga lewat petang.

Selain pemanah Muslim, katanya ada juga peserta bukan Islam menguasai skil memanah mahupun berkuda.

Peserta, Tushaani Naidu berkata, ini kali ketiga dia menyertai bengkel berkaitan aktiviti memanah.

“Memanah sudah lama tetapi bagi memanah berkuda ini pertama kali saya cuba. Saya tertarik menyertainya kerana ia sesuatu menarik apatah lagi saya sering melihat aksi ini dalam filem, kalau saya boleh buat ia sangat ‘cool’.

“Tidak ramai rakan sebaya menyertai acara ini apatah lagi sambil berkuda cabarannya pasti lagi sukar. Saya perlu buang jauh perasaan gentar ketika menunggang dalam pada masa sama fokus untuk mengenai sasaran.

“Memanah dalam berkuda cabarannya adalah posisi ketika memanah tidak menentu kerana kita sedang bergerak, selain teknik mensasarkan berbeza kerana kita pada kedudukan lebih tinggi. Paling penting ialah saya dapat menunggang sambil melepaskan anak panah,” katanya.

Bagi peserta Singapura, Ali Awang, peluang mempelajari memanah berkuda satu kemahiran lebih rumit dan mencabar.

“Nampak mudah tetapi apabila membabitkan kuda aktiviti ini sedikit rumit. Dalam erti lain perlu ada kolaborasi atau memahami kuda kita tunggang bagi membolehkan kita memanah dengan baik.

“Saya lihat pendekatan jurulatih iaitu mengajar teknik menjinakkan kuda terlebih dulu dan membiasakan diri dengan menunggangnya ialah pengalaman bermakna.

Di sini tip penting perlu ada kemahiran mengawal agar kuda patuh dan hormat penunggang cukup penting.

“Barulah boleh memanah dan di sini, kami dilatih terlebih dulu berlari atas tanah agar membiasakan kedudukan badan bersesuaian ketika melepaskan busur. Penting kena yakin dan fokus agar sasaran mengena. Penting ialah latihan dan terus meningkatkan kemahiran dengan mengikuti bengkel seperti ini,” katanya.

Kata Ali, dia mewakili Simply Archery datang bersama tiga rakan lain berharap dapat berkongsi skil berkenaan dengan peminat sukan memanah di Singapura apabila pulang kelak.

Sementara itu, pengasas Pemanah Jawi Azham Affif Ishak menyifatkan banyak manfaat dapat diperoleh peserta menerusi bengkel berkenaan.

“Bengkel ini membantu meningkatkan tahap pemanah dalam sudut berlainan yakni berkuda. Berkuda mahupun memanah kedua-duanya. Kalau dilihat mengapa pentingnya untuk mengasuh generasi muda sekarang mengenali sukan ini semestinya sukan ini mempunyai kesan baik pada fizikal mahupun rohani itu sendiri.

“Kalau dilihat peserta ini terutama kalangan muda ia mengasuh akhlak mahupun peribadi pemanah. Nilai baik seperti berani, disiplin tinggi serta berhemah dengan haiwan antara diasuh menerusi aktiviti riadah sunnah ini.

“Semestinya dalam kalangan komuniti kami berharap lebih ramai pemanah berkuda dapat dilahirkan. Selain itu, kami selaku jurulatih berharap dapat membantu peserta ini bersedia untuk pertandingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 5:21 AM