DIBANTU staf ketika menunggang.
DIBANTU staf ketika menunggang.
GAYAT turut dirasai peserta ketika awal menunggang.
GAYAT turut dirasai peserta ketika awal menunggang.
PESERTA cuba membiasakan diri dengan panah PVC.
PESERTA cuba membiasakan diri dengan panah PVC.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Keterujaan jelas terpancar di wajah Muhammad Aiman Jamal, 15, ketika menyertai Program Memanah dan Berkuda anjuran Geng Pemanah PVC (Polivinil Klorida). Dia tidak betah duduk diam ketika cuti sekolah berkata, menyertai aktiviti luar seperti dianjurkan komuniti itu membantu dirinya memenuhi waktu lapang dengan aktiviti berfaedah.

Meskipun terdapat pelbagai aktiviti dianjurkan oleh pihak tertentu sempena cuti panjang, dia tertarik menyertainya kerana pengisian program sedikit berbeza daripada kem pernah disertainya sebelum ini.

“Saya dimaklumkan ibu mengenai program terbabit. Saya tertarik kerana ia membabitkan aktiviti berkuda yang mana saya tidak pernah sertai sebelum ini. Saya lihat aktiviti berkuda menyeronokkan. Jadi ini mungkin peluang saya mencuba sendiri.

“Saya bukan saja dapat menunggang malah turut belajar perkara lain mengenai kuda. Kami didedahkan cara penjagaan kuda seperti mandi, berus mahupun tabiat makannya. Ini memberi ilmu tambahan mengenai haiwan itu,” katanya.

Mengenai slot memanah pula, Aiman tidak sangka dia menghasilkan sendiri alat berkenaan.

“Saya agak terkejut apabila dimaklumkan dalam program ini kami perlu membuat panah sendiri. Ini adalah pengalaman menarik buat saya yang tidak pernah memanah.

“Unik lagi apabila busur kami daripada batang PVC dan mungkin selepas ini saya akan menguarkan program ini kepada rakan lain untuk menyertainya pula,” katanya.

Sementara itu peserta wanita, Farah Wahida Hashim, 29, berkata, baik aktiviti berkuda mahupun memanah, kedua-duanya sesuai untuk disertai golongan Hawa.

“Tidak menjadi satu kesalahan rasanya untuk beriadah menerusi aktiviti berkuda mahupun memanah kerana ia sukan baik untuk kesihatan. Malah dalam aktiviti ini kami mendapat tenaga pengajar berpengalaman. Jadi kami tidak perlu berasa bimbang mengenai risiko tinggi mendapat kecederaan,” katanya.

Antara dua program itu, Farah berkata memanah jauh lebih sukar berbanding berkuda.

“Memanah lebih mencabar kerana memerlukan konsistensi dalam latihan untuk menjadi pemanah baik.

“Pertama kalinya memanah menarik busur bukan mudah. Ia memerlukan kekuatan tangan serta koordinasi mata betul memastikan anak panah menepati sasaran,” katanya.

Bagi fasilitator program, Sedana Arief Razlan Sedana Omar, 22, dia gembira dengan reaksi positif peserta.

Katanya, pakej sukan berkuda bersama slot memanah membuat­kan ramai yang tertarik tidak kira golongan dewasa mahupun kanak-kanak.

“Sasaran kami adalah ‘Gen Y’ dalam memperkenalkan aktiviti lebih sihat untuk pilihan mengisi masa terluang. Kali ini perkenalan kepada peserta adalah berkuda baik untuk kesihatan serta juga memanah bagi melatih kekuatan mental menerusi daya fokus.

“Namun kecenderungan saya dalam program ini adalah berkongsi pengalaman serta skil memanah. Sebenarnya saya meminati aktiviti memanah sejak kecil.

“Tetapi untuk memiliki set berkenaan adalah tidak berkemampuan sehinggalah saya mengetahui paip PVC juga boleh digunakan membuat memanah,” katanya.

Dia turut menyimpan harapan kelak untuk menggabungkan dua aktiviti berkenaan dalam satu aktiviti riadah.

“Aktiviti berkuda bukanlah pertama kali buat saya. Namun menggabungkan kedua-duanya untuk modul kali ini, ianya julung kali diadakan.

“Dengan harapan selepas kejayaan menggabungkan memanah serta berkuda, kelak kami boleh memanah sambil berkuda pula,” katanya.

Sementara, pengarah program, Mohd Syamil Mohd Yussuf berkata, penganjuran program terbabit bertujuan menarik perhatian generasi muda terutama golongan remaja mendekati aktiviti lebih sihat.

“Penganjuran program ini bertujuan merangsang golongan muda memilih aktiviti lebih sihat selain bermanfaat bagi mengisi waktu lapang mereka. Cabaran remaja kini jauh lebih getir kerana teknologi di hujung jari membolehkan mereka mudah akses perkara negatif.

“Pengenalan kami menganjurkan modul berkuda dan memanah membantu mereka membina hobi baru. Mereka diharap menarik perhatian rakan sebaya lain untuk menyertai dalam aktiviti sama,” katanya.

Rasionalnya kedua-dua aktiviti, berkuda dan memanah dimuatkan dalam program ini kerana ia riadah disarankan oleh Rasulullah.

“Kami menawarkan pengetahuan serta skil menghasilkan set memanah sendiri. Jauh lebih murah dan mereka boleh melatih diri sebelum memilih untuk serius dalam sukan memanah.

“Kebaikan memanah ini sedia maklum ia meliputi semua aspek, mental mahupun fizikal. Mental ialah pemanah perlu melatih diri untuk fokus dan fizikal ialah koordinasi mata, kekuatan bahagian atas badan serta posisi bersedia betul. Dalam program sehari ini, kami turut memuatkan slot berkuda kerana ia melengkapkan lagi riadah disarankan oleh sunnah,” katanya.

Pemilik Equestrian Sungai Ramal Kajang, Ujang Hashim berkata, usaha penganjur menggabungkan aktiviti berkuda dalam program sehari itu amatlah dialu-alukan pihaknya.

“Saya menghargai usaha penganjur membawa peserta merasai pengalaman menunggang di pusat ini. Ramai yang berminat tetapi takut untuk memulakan aktiviti ini kerana berasa sukan ini dimonopoli golongan elit sedangkan ianya sejenis sukan.

“Jadi saya berharap selepas peserta datang menunggang di sini mereka akan kembali dan memilih sukan berkuda antara pilihan riadah mereka dalam menjaga kesihatan diri selain sukan lain.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:04 AM