FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Kuala Lumpur: Gajet sebagai 'ubat pelali' untuk anak-anak. Itu tabiat segelintir ibu bapa yang sering menjadikan gajet sebagai penenang namun tidak memikirkan kesan jangka panjang.

Tindakan itu sekali gus memungkinkan golongan berkenaan mengalami ketagihan peranti pintar di peringkat awal pembesaran.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC) Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad menyatakan wujud tindakan segelintir ibu bapa yang memberikan gajet untuk mententeramkan emosi anak-anak atau boleh dikatakan sebagai 'pelali'.

"Dalam situasi ini lebih mendedahkan kepada ketagihan kerana ketenangan apabila melihat atau menggunakan peranti secara berterusan akan menjadikan kanak-kanak serta remaja menjadi bergantung kepada peranti.

"Kesilapan juga berlaku apabila ibu bapa tidak mendidik anak-anak mereka serta tidak mempedulikan tentang kecenderungan aktiviti mereka semasa menggunakan peranti di Internet.

"Keadaan ini mengundang salah guna kemudahan peranti berkenaan sekali gus mungkin terdedah dengan pornografi atau ketagihan bermain permainan mudah alih," katanya.

Muhammad Muhsin berkata, walaupun ketagihan peranti atau internet ini belum secara formalnya dikategorikan sebagai penyakit mental, namun langkah pencegahan perlu dilakukan oleh ibu bapa.

"Kalau dilihat cabang utama ketagihan peranti atau internet boleh dianalisiskan antara lain ketagihan terhadap penggunaan media sosial, platform sembang (chatting) atau permesejan (messaging), permainan, pornografi serta perjudian atas talian.

"Semua platform itu ada sebab berlainan kenapa kecenderungan ketagihan internet atau peranti boleh berlaku," katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak berusia kurang dua tahun perlu rangsangan fizikal seperti berinteraksi secara bersemuka, perkembangan sensorimotor, mempelajari asas interaksi sosial seperti bercakap menggunakan perkataan dan memberi respon mimik muka.

Katanya, perkembangan sosial ini boleh terencat jika penggunaan peranti digunakan pada peringkat berkenaan dan terdapat pelbagai risiko lain antaranya masalah penglihatan, gangguan tidur serta kegemukan.

"Mengikut saranan, peringkat awal ini hanya dibenarkan kurang dua jam sehari untuk menggunakan peranti pintar seperti menonton platform penstriman video atau internet.

"Tidak dapat dinafikan berkemungkinan pendedahan berlebihan menyumbang kepada masalah kanak-kanak lambat untuk bercakap atau speech delay kerana terlalu bergantung dengan gajet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 12:30 PM