Muhammad Saufi Hassan

Pemilihan perkakas kritikal seperti punca kuasa sememangnya penting kerana ia akan memberi kestabilan serta jangka hayat yang lebih lama.

Tidak semua punca kuasa atau 'PSU' ini memberikan kestabilan arus elektrik dan keadaan itu boleh diibaratkan sebagai 'bom jangka' jika pengguna memilih PSU yang tidak diperakui.

Untuk itu, jenama perkakas permainan terkemuka, MSI memperkenalkan bekalan kuasa (PSU) pertama yang didatangkan dengan kesesuaian ATX3.0 serta PCIe 5.0.

Ia didatangkan dengan dua generasi iaitu daripada variasi MSI MEG serta MSI MPG.

Untuk generasi MEG terdapat dua variasi iaitu MEG AI1300P PCIE5 dan MEG AI1000 PCIE5 manakala untuk generais MPG iaitu MPGA1000G PCIE5, MPG A850G PCIE5 serta MPG A750G PCIE5.

Menyentuh keupayaan siri MEG AI1300P PCIE5 serta MEG AI1000 PCIE5 ia didatangkan dengan keupayaan kuasa dua kali lebih baik daripada generasi ATX2.0.

Bekalan kuasa generasi baharu ini juga dilengkapi dengan penyambung sedia 16 pin PCIe sekali gus sesuai untuk kad grafik Nvidia GeForce generasi RTX4000.

Ia juga akan memudahkan pengguna untuk membina set desktop mereka sendiri dengan kemas memandangkan sudah mempunyai penyambung 16 pin yang disatukan berbanding 8 pin + 8 pin untuk PSU generasi terdahulu.

Perkakas ini juga mendapat penarafan tahap efisien 80 Plus Platinum dengan kecekapan bekalan kuasa sehingga 92 peratus.

MEG AI1300P PCIE5 ini juga didatangkan dengan sambungan modular penuh dengan bekalan kuasa 1300 watt.

Pengguna bekalan kuasa ini memberi kestabilan khususnya untuk kelengkapan kelas prestasi tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 11:01 PM