PSU terbaharu keluaran MSI.
PSU terbaharu keluaran MSI.
Muhammad Saufi Hassan


HATI-HATI dengan pemilihan bekalan sumber kuasa (PSU) untuk desktop pengguna kerana ia mungkin menjadi 'bom jangka' jika menggunakan PSU tidak diiktiraf termasuk penggunaan rintangan bergred rendah.

Pengguna PSU yang tidak diiktiraf akan memberi kesan kepada komponen lain memandangkan punca bekalan kuasa umpama 'nyawa' bagi sesebuah desktop yang menghidupkan semua komponen lain.

Bekalan kuasa yang tidak diiktiraf kebiasaannya menggunakan rintangan bergred rendah sekali gus arus elektrik yang terhasil adalah tidak stabil dan memungkinkan desktop akan akan mengalami litar pintar, terbakar serta pelbagai lagi kemungkinan lain.

Bayangkan angkara sumber bekalan kuasa yang tidak diiktiraf, beberapa komponen lain seperti papan induk akan terdedah dengan kerosakan lain.

Untuk itu, penulis mencadangkan kepada pengguna untuk mendapatkan bekalan sumber kuasa yang diperakui dan kini, jenama kelas permainan terkemuka, MSI sudah melancarkan PSU yang mendapat pengiktirafan kuasa.

Mungkin jenama MSI agak baharu dalam segmen perkakas PSU, namun penawaran produk mereka adalah sangat baik sesuai dengan jenama premium untuk kelas permainan yang mementingkan kuasa prestasi serta jangka hayat perkakas tahan lebih lama.

MSI kali ini memperkenalkan PSU mereka daripada siri generasi MPG GF yang merangkumi keupayaan bekalan kuasa bermula 650W, 750W dan 850W mengikut kesesuaian penggunaan.

Pengenalan itu juga melengkapkan barisan perkakasan keluaran syarikat berkenaan serta ia dibuat untuk memberi sokongan bekalan kuasa kepada kad grafik baharu Nvidia iaitu siri 'Ampere'.

Paling mengagumkan apabila siri MPG GF berkenaan didatangkan dengan kefungsian modular penuh dengan pengiktirafan bekalan kuasa 80 Plus Gold untuk kestabilan arus PSU.

BEKALAN kuasa MSI MPG GF terbaik dalam kelasnya.
BEKALAN kuasa MSI MPG GF terbaik dalam kelasnya.

PSU siri MPG GF ini didatangkan dengan kabel sambungan nipis sekali gus memudahkan pengguna untuk melakukan kemasan kabel di dalam desktop untuk kelihatan lebih 'bersih' daripada selirat wayar-wayar.

Bagi perkakas ini, MSI memberi jaminan 10 tahun untuk siri PSU MPG GF dan ia dilengkapi dengan kapasitor buatan Jepun keseluruhannya sekali gus meningkatkan kecekapan penghantar kuasa yang lebih stabil.

Semua generais berkenaan mendapat pengiktirafan kuasa 80 Plus Gold termasuk ciri khusus seperti rekaan PFC, LLC Topologi dengan modul DC-DC 100 peratus rintangan berkualiti.

Semua PSU siri ini menggunakan format sambungan 'fully modular' untuk memudahkan pengguna dalam melaksanakan kemasan menerusi desktop pemilik.

Ia didatangkan dengan empat sambungan 6-pin untuk perkakas SATA, empat 8-pin bagi bekalan kuasa kad grafik, dua sambungan 8-pin untuk bekalan papan induk serta pemproses dan kombinasi 18-pin bersama 10-pin untuk 24-pin kabel ATX.

Secara keseluruhannya, PSU terbaharu keluaran MSI ini sememangnya berkualiti dengan rintangan bergred tinggi sekali gus menstabilkan bekalan arus.

Binaan bekalan kuasa siri MPG GF ini juga berciri premium sesuai dengan MSI yang mementingkan prestasi terutamanya dalam kelas permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 6:30 AM