Siti Nadirah Hafidzin


SABAN hari gaya solekan kian pantas berubah mengikut pengaruh trend solekan semasa. Sekalipun masing-masing mempunyai stail dan pendapat berbeza, kaedah bersolek terkini tetap menjadi rujukan untuk tampil jelita pada majlis keraian, pejabat ataupun bersantai.

Tidak kira sama ada menggunakan produk antarabangsa mahupun tempatan, kualiti solekan sebenarnya banyak bergantung kepada teknik dan kebolehan merias wajah.

Menurut jurusolek profesional, Feiruz Sohor (@feiruzsohor), antara jenis solekan selamat yang boleh menyerlahkan kejelitaan wanita adalah solekan impak lembut terutama menggunakan teknik betul.

“Mulakan solekan dengan semburan pelembap wajah atau krim pelembap biasa dan biarkan ia benar-benar meresap jauh ke dalam kulit.

“Selepas menggunakan bedak asas diikuti bedak padat dengan sekata, sapukan pemerah pipi terlebih dulu bagi mendapatkan kesan yang lebih menyerlah. Ia dinamakan teknik ‘tanam pemerah pipi’.

“Untuk solekan lembut, gunakan celak mata rona putih kerana ia lebih semula jadi dan memberikan impak segar. Kebiasaannya, ramai menggunakan celak mata rona coklat atau hitam namun sedikit berbeza dengan jenis solekan ini,” katanya.

Feiruz berkata, diingatkan pemilihan rona gincu juga memainkan peranan besar dalam hasil keseluruhan solekan. Gincu berwarna lembut lebih sesuai untuk menghasilkan jenis solekan ini.

“Paling utama pemilihan rona kerana ia memberikan kesan yang berbeza. Penggunaan rona terang dan menyerlah akan memberikan hasil yang lebih ‘wow’ berbanding penggunaan rona lembut.

“Solekan ini sesuai digayakan untuk banyak acara juga malah ia adalah pilihan tepat bagi gaya harian kerana ia tidak keterlaluan dan sedap mata memandang,” ujarnya.

Kata Feiruz, paling utama, kenali terlebih dulu rona wajah dan jenis karakter diri sebelum cuba mengenakan apa juga jenis solekan kerana sekiranya tersalah pilih penampilan keseluruhan kemungkinan kelihatan janggal.

Feiruz berkongsi langkah demi langkah melakukan solekan berimpak lembut.

LANGKAH DEMI LANGKAH

1. WAJAH model sebelum disolek.

2. SAPU bedak asas mengikut ton kulit wajah.

LANGKAH 1 & 2
LANGKAH 1 & 2

3. DIIKUTI bedak tabur dengan sekata.

4. BENTUK kening supaya penampilan lebih kemas.

LANGKAH 3 & 4
LANGKAH 3 & 4

5. SAPUKAN pembayang mata menggunakan rona tanah atau keemasan jika mahukan penampilan lebih berseri diikuti celak pada garisan atas mata.

6. GUNAKAN maskara untuk melentikkan bulu mata atau jika berani boleh gunakan bulu mata palsu.

LANGKAH 5 & 6
LANGKAH 5 & 6

7. SAPUKAN pemerah pipi bagi menambahkan lagi seri wajah.

8. TERAKHIR, oles gincu menggunakan rona bersesuaian dengan busana.

LANGKAH 7 & 8
LANGKAH 7 & 8

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 4:30 AM
SOLEKAN berimpak lembut. FOTO: Aziah Azmee
SOLEKAN berimpak lembut. FOTO: Aziah Azmee