Siti Nadirah Hafidzin

[email protected].m

Gaya solekan yang sesuai mampu menaikkan seri wajah dan membuatkan sesiapa saja kelihatan menarik setiap masa.

Solekan boleh dikenakan biarpun ketika waktu santai, tetapi dengan syarat ia perlu disapu nipis dan padan dengan rona kulit.

Menurut jurusolek profesional Feiruz Sohor, solekan juga perlu disesuaikan dengan bentuk wajah supaya tampak manis.

Menurutnya, penggunaan sapuan pembayang di pipi dan bawah dagu mampu membuatkan wajah kelihatan lebih runcing serta terbentuk.

“Ia juga mampu menonjolkan tulang pipi, membuatkan seseorang kelihatan lebih anggun dengan wajah lebih tajam.

“Pembayang pada wajah juga boleh disapu pada bahagian tepi tulang hidung bagi membuatkannya kelihatan lebih mancung,” katanya.

Feiruz berkata, solekan santai membuatkan seseorang nampak berbeza kerana wajah yang bulat boleh ditukar menjadi runcing, tetapi teknik dan asas solekan yang betul perlu diketahui.

“Jika tidak, solekan berisiko tidak menjadi dan membuatkan wajah menjadi kurang cantik.

“Antara panduan bagi mereka yang berwajah bulat, boleh elakkan solekan yang berkilat terutama di bahagian pipi supaya wajah tidak kelihatan bertambah bulat,” katanya.

Katanya, penggunaan mekap yang berkilat sesuai untuk mereka yang berwajah runcing kerana ia membuatkan wajah kelihatan lebih segar.

MODEL bersama Feiruz (kanan) dan Hilmi.
MODEL bersama Feiruz (kanan) dan Hilmi.

Selain itu, menurut Feiruz, sapuan solekan ketika malam perlu lebih terang berbanding solekan pada waktu siang.

“Solekan santai pada waktu siang seharusnya lebih lembut kerana keadaan yang terang.

“Bagi solekan yang santai, ia perlu disapu nipis saja dan sesuai ketika keluar bersiar-siar pada hari minggu dan ke pejabat kerana rona yang digunakan tidak garang juga tidak keterlaluan,” ujarnya.

Feiruz berkata, pembayang berwarna coklat juga boleh dipilih untuk membentuk wajah atau disapu di kelopak mata kerana ia sesuai dengan semua warna kulit.

Bagi mendapatkan solekan santai, tetapi tetap nampak menyerlah, Feiruz berkongsi langkah demi langkah solekan sesuai untuk mereka yang gemar tampil menawan ketika keluar bersiar-siar terutama ketika waktu cuti.

1. WAJAH model sebelum disolek. Pastikan wajah dalam keadaan bersih.
1. WAJAH model sebelum disolek. Pastikan wajah dalam keadaan bersih.

2. SAPU bedak asas yang sesuai mengikut kulit wajah, kemudian sapukan bedak tabur supaya bedak asas tidak melekit dan tahan lama.
2. SAPU bedak asas yang sesuai mengikut kulit wajah, kemudian sapukan bedak tabur supaya bedak asas tidak melekit dan tahan lama.

3. LUKIS kening mengikut kesesuaian bentuk wajah.
3. LUKIS kening mengikut kesesuaian bentuk wajah.

4. SAPU pembayang mata dan lukis garis mata menggunakan penggaris mata. Jika mahukan mata yang lebih bundar boleh gunakan bulu mata.
4. SAPU pembayang mata dan lukis garis mata menggunakan penggaris mata. Jika mahukan mata yang lebih bundar boleh gunakan bulu mata.

5. LAKUKAN teknik pembayang untuk membentuk wajah kemudian sapukan pemerah pipi.
5. LAKUKAN teknik pembayang untuk membentuk wajah kemudian sapukan pemerah pipi.

6. GUNAKAN gincu menggunakan rona lembut untuk mendapatkan hasil solekan santai.
6. GUNAKAN gincu menggunakan rona lembut untuk mendapatkan hasil solekan santai.

7. WAJAH model selepas siap disolek.
7. WAJAH model selepas siap disolek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 8:45 AM