PELBAGAI busana elegan, ringkas dan retro.
PELBAGAI busana elegan, ringkas dan retro.
Intan Mas Ayu Shahimi


RINGKAS, sopan namun masih mengekalkan ciri elegan. Meneliti koleksi busana dibawakan Azura Azwa ke pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) baru-baru ini, ternyata padanan gaya yang diperkenal cukup sepadan dengan pilihan kebanyakan wanita kini.

Langsung tidak sarat dengan perincian, bahkan potongan longgarnya menjanjikan keselesaan buat pemakai. Menggabungkan elemen moden klasik dalam pemilihan corak, potongan dan gaya, koleksi ini nampak begitu menyerlah di pentas peragaan.

Menariknya, koleksi ini sesuai digayakan wanita ke sebarang acara tidak kira sama ada formal atau santai, ke pejabat atau memenuhi jemputan minum petang, bahkan sopan untuk majlis makan malam. Hanya pilih padanan aksesori untuk disesuaikan dengan penampilan membelek koleksi ini dari dekat, pemilihan fabrik bertekstur seumpama brokat, menampakkan keseimbangan pada postur tubuh pemakai. Ia pilihan tepat untuk mereka yang terlalu kurus, tinggi lampai atau mungkin sedikit berisi.

Mengangkat konsep retro dalam koleksi ini, jenama busana Muslimah yang diusahakan dua adik-beradik, Azura Liyana Azmi dan Azwa Elena Azmi ini jelas bijak bermain dengan warna serta corak.

Rona alam seperti kuning mustard, hijau, hitam, putih, coklat kemerahan dan merah hati mudah disuai padan dengan hijab dan selendang warna pastel. Ia juga mencerminkan sisi klasik dalam diri pemakai. Paling penting, setiap helaiannya tampak mewah dan elegan di tubuh pemakai.

Agak jauh daripada kebiasaan, kebanyakan busana dengan ciri tradisi dalam koleksi ini dipadankan dengan celana longgar dan skirt labuh. Helaian gaun maksi turut dimuatkan selain kurung Pahang yang diberi nafas baru.

Bagi yang sukakan gaya kasual, padanan baju untuk setiap helaian boleh disuaikan dengan celana denim, kain duyung, palazo mahupun skirt kembang.

Manisnya koleksi ini apabila ia hadir bersama pelbagai pilihan turban warna dan corak sedondon untuk dipadankan dengan busana terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 6:45 AM