Oleh Siti Zarinah Sahib

.

Kemasan serta potongan sederhana menjadi inspirasi himpunan Tory Burch menjelang 2015 apabila memperkenalkan gaya yang anggun dan menawan.

Mengambil ilham daripada alam semula jadi dengan palet matahari di Milton Avery, setiap padanan menyerlahkan gaya yang cukup santai, bersih serta berstruktur.

Dengan memberi tumpuan kepada potongan yang memperlihatkan skirt dipadankan blaus, gaun pendek mahupun seluar berjalur, ia cukup memberi makna kepada si pemakai yang inginkan tema percutian menyeronokkan serta sesuai digayakan ke pejabat.

Menggunakan fabrik kapas kemudian disulam perincian renda bagi menampakkan kemewahan, koleksi ini sememangnya sesuai digayakan ke mana saja. Motif bunga dan dedaun menambah nilai kewanitaan manakala lukisan abstark dengan jaluran, kotak atau contengan menambah ilham kepada wanita berkerjaya meng-gayakannya ke pejabat atau urusan rasmi.

Menggunakan warna alam sebagai tema rekaan, sememangnya pereka ini dikenali kerana mementingkan cita rasa wanita. Cetakan bunga dengan rona biru laut pada helaian gaun putih menampakkan nilai keindahannya.

Begitu juga pada jaket hijau yang mencetuskan gaya lebih menawan terutama kepada mereka yang meminati warna alam ini. Bagi mereka yang sukakan corak abstrak, pilihan tentunya kepada blaus dipadankan seluar pendek yang nampak versatil apabila digayakan dengan beg tangan warna senada.

Bukan saja memperkenalkan helaian busana, jenama ini juga menyediakan koleksi kasut, beg tangan, cermin mata, beg tangan dan perhiasan seperti anting-anting dan rantai yang mula berada di pasaran tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:02 AM